EKONOMI > BERITA

DUBAI GESA SYARIKAT MALAYSIA MANFAATKAN FINTECH, KEWANGAN ISLAM PACU PERTUMBUHAN

25/11/2025 07:31 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) — Emiriah Arab Bersatu (UAE), terutamanya Dubai, menganggap teknologi kewangan (fintech) dan kewangan Islam sebagai sektor yang semakin menonjol dan sewajarnya dimanfaatkan oleh syarikat Malaysia untuk merebut peluang pertumbuhan dalam bidang terbabit.

Naib Presiden Eksekutif Hubungan Antarabangsa Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dubai, Salem Al Shamsi berkata pada masa sama, sektor-sektor tradisional seperti pembinaan dan perdagangan barangan pengguna yang bergerak pantas, kekal aktif seiring dengan bidang tumpuan baharu berkenaan.

Beliau turut berkongsi minat serantau yang semakin ketara terhadap apa ditawarkan oleh Dubai, terutama keupayaan logistik serta rangkaian hubungan yang kukuh dengan pasaran seperti Afrika serta benua kecil India.

“UAE misalnya adalah hab perdagangan, khususnya Dubai. Oleh itu, bagi kami, ini lebih kepada usaha meneliti perhubungan ini dan membangunkan apa yang sedang dilaksanakan sebarang untuk membantu syarikat Malaysia meraih manfaat daripada apaa yang ditawarkan Dubai sebagai sebuah hab perdagangan global,” katanya.

Salem berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dubai dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini, hari ini.

Dokumen yang ditandatangani oleh Salem serta Presiden NCCIM Datuk Seri N. Gobalakrishnan, bertujuan meningkatkan lagi hubungan dagangan dua hala selain memperkukuh hubungan komuniti perniagaan di Dubai dan Malaysia.

Perdagangan bukan minyak antara Malaysia dan Dubai mencecah US$4.9 bilion pada 2024 dan menyaksikan pertumbuhan tahunan yang memberangsangkan sebanyak 20 peratus.

Selain itu, jumlah syarikat Malaysia yang berdaftar sebagai ahli aktif  Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dubai adalah 318 setakat 30 September lepas dengan 73 syarikat Malaysia baharu menyertai dewan itu dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025.

Pihak Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dubai turut mengenal pasti beberapa produk berpotensi tinggi untuk dieksport dari Dubai ke Malaysia, termasuk bahan kimia organik dan bukan organik, komponen pesawat dan kapal angkasa, jet turbo serta kipas turbo, plastik, kuprum dan besi selain kopi, teh dan produk tenusu.

Pada masa sama, syarikat-syarikat berpangkalan di Dubai, juga mempunyai masa mencukupi bagi meninjau sektor pelaburan utama di Malaysia seperti pengangkutan dan gudang, hartanah, pelancongan dan hospitaliti, plastik, perkhidmatan hospitaliti dan penjagaan kesihatan.

Salem berkata UAE sedang berusaha bagi mempelbagaikan ekonominya sebanyak mungkin, memandangkan Dubai tidak bergantung kepada minyak yang menyumbang kurang dua peratus daripada ekonominya.

“Kami telah lama melakukan pempelbagaian di Dubai sejak sekian lama dan membangunkan infrastruktur untuk membantu pelbagai perniagaan berbeza berkembang maju.

“Pusat Kewangan Antarabangsa misalnya, adalah antara lokasi terbesar dari segi pembiayaan di rantau kami. Ringkasnya, kami meninjau aspek untuk meningkatkan perdagangan dua hala bagi memudah cara lebih banyak perniagaan ke dalam bandar raya itu serta membantu mereka berkembang,” katanya.

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dubai adalah sebuah entiti awam bukan mencari keuntungan yang menyokong visi Dubai sebagai pemain global dengan memperkasa perniagaan, menyampaikan perkhidmatan inovatif dengan nilai tambah selain membuka akses kepada rangkaian yang berpengaruh.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan