EKONOMI > BERITA

MANSUH TARIF KE ATAS DAGING LEMBU DARI KENYA BAGI KURANGKAN KOS UNTUK PENGGUNA - PM ANWAR

25/11/2025 05:10 PM

Daripada M. Saraswathi

NAIROBI, 25 Nov (Bernama) -- Pengumuman untuk memansuhkan tarif ke atas import daging lembu dari Kenya bertujuan mengurangkan kos untuk pengguna Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Isu lebih penting bukan mengenai memansuhkan atau mengekalkan (tarif) tetapi bagaimana untuk mendapatkan harga yang rendah? Seperti yang anda tahu, harga daging lembu adalah terlalu tinggi (di Malaysia),” kata beliau dalam sidang media pada akhir siri lawatan ke tiga negara di Afrika. 

Beliau berkata Malaysia perlu mengimbangi perlindungan terhadap penternak tempatan dengan keperluan memastikan harga makanan mampu milik dan negara telah mengimport daging lembu dari beberapa negara lain.

“Kos daging di Malaysia adalah tinggi. Kecenderungan kita adalah memperluas dan mempermudah import supaya kos kepada rakyat adalah lebih rendah,” kata beliau.

Mengenai kos memansuhkan tarif untuk kerajaan, Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata: “Ia amat kecil, sangat minimum, sangat tidak signifikan.” 

Pada sidang media bersama dengan Presiden Kenya William Samoei Ruto pada Isnin, para pemimpin mengumumkan bahawa selain meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik, Malaysia turut bersetuju untuk memansuhkan tarif ke atas hasil pertanian dan daging lembu dari Kenya.

Mengulas lanjut pada sidang media, Perdana Menteri berkata tiada keperluan untuk mengehadkan import kepada hanya beberapa negara sahaja dan menjadikannya sukar untuk negara yang kurang maju untuk mengeksport ke Malaysia.

“Selagi prosedur dan parameter dipenuhi, tiada sebab untuk mendiskriminasi negara miskin,” kata beliau, sambil menambah agensi termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pertanian perlu memastikan akses yang adil kepada semua.

Anwar berkata walaupun Kenya berminat untuk meningkatkan hasil eksportnya, negara itu turut merancang untuk meningkatkan import dari Malaysia.

“Sebagai contoh, ia mengimport sejumlah besar minyak sawit dari Malaysia, berjumlah RM1 bilion, yang turut disalurkan ke negara lain di benua lain. Aturan sama dapat dilihat pada kereta Proton kita,” kata beliau.

Ruto turut berminat dalam pembangunan semikonduktor, peralihan tenaga dan industri digital.

Anwar berkata kementerian berkaitan seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta agensi berkaitan perlu melaksanakannya dan menggunakan peluang untuk manfaat rakyat Malaysia dalam semua sektor.

“Kementerian Luar dan MITI perlu mengurusnya dengan proaktif dan cabaran kita ialah melaksanakan keputusan ini.

“Ia akan menjadi kerugian yang besar jika kita tidak memanfaatkan sepenuhnya semangat sokongan yang amat mesra ini daripada rakan-rakan kita di Afrika,” kata beliau.

Mengenai beberapa memorandum persefahaman dan pertukaran dokumen antara Malaysia dan Ethiopia serta Kenya, Anwar berkata ia akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet pada Jumaat supaya tindakan susulan dapat diambil kerana potensinya yang besar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan