EKONOMI > BERITA

MALAYSIA RAIH JUALAN EKSPORT BERNILAI RM432.18 JUTA DI SAUDI BUILD 2025

25/11/2025 08:53 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) meraih jualan berjumlah RM432.18 juta di pameran Saudi Build 2025 ke-35 merangkumi RM251.26 juta daripada Pavilion Malaysia dan RM180.92 juta daripada sesi pemadanan perniagaan.

Saudi Build merupakan antara pameran perdagangan utama bagi perkhidmatan pembinaan dan bahan binaan di Arab Saudi, yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Riyadh (RICEC).

Pavilion Malaysia, yang diterajui MATRADE, disertai 16 pempamer mewakili pelbagai industri berkaitan pembinaan, termasuk bahan binaan, perkhidmatan kejuruteraan, teknologi pembinaan pintar, pengurusan projek dan penyelesaian cekap tenaga.

"Secara terkumpul, pavilion itu mencatatkan jumlah jualan berjumlah RM251.26 juta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MATRADE berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk menyokong agenda Wawasan 2030 Arab Saudi serta memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala terutamanya dalam sektor pembinaan dan infrastruktur yang menjadi tonggak utama pembangunan ekonomi antara kedua-dua negara.

Arab Saudi merupakan antara pasaran pembinaan paling dinamik di dunia, dan penyertaan MATRADE dalam Saudi Build 2025 mencerminkan usahanya untuk meletakkan syarikat Malaysia sebagai rakan yang dipercayai dalam menyediakan penyelesaian berkualiti, mampan dan inovatif sejajar dengan projek transformatif Wawasan 2030.

Penyertaan dalam pameran tersebut telah membuka ruang bagi penglibatan berterusan antara pemain industri Malaysia dan Arab Saudi selain mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik dalam infrastruktur dan pembangunan negara di negara itu, katanya.

Menurut MATRADE, sepanjang pameran berlangsung selama empat hari bermula 3 November 2025 itu, Pavilion Malaysia telah berjaya menarik minat pemegang taruh Arab Saudi dan serantau, termasuk pemaju, kontraktor, perunding dan pelabur.

Ini seterusnya menghasilkan potensi perniagaan dan pengenalpastian bidang utama yang mempunyai kepentingan bersama, katanya.

Peserta Malaysia terlibat dalam pelbagai perbincangan perniagaan untuk meneroka peluang dalam pelbagai projek gergasi di Arab Saudi.

Selain itu, Program Pembeli Global (GBP) MATRADE turut melengkapi pameran tersebut, yang menarik pembeli antarabangsa dari Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Nigeria dan Senegal.

Sesi pemadanan perniagaan yang dikendalikan MATRADE menjana potensi perdagangan  memberangsangkan dan peluang eksport untuk peserta Malaysia, merekodkan jumlah jualan sebanyak RM180.92 juta.

Penyertaan di Saudi Build 2025 merupakan sebahagian daripada usaha strategik MATRADE untuk mengembangkan kehadiran syarikat Malaysia di pasaran pertumbuhan tinggi dalam rantau Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Berasaskan kejayaan penyertaan sulung ini, MATRADE dan pemegang kepentingannya merancang untuk mempromosikan lagi syarikat Malaysia di Asia Barat melalui penglibatan berterusan dalam pameran perdagangan utama dan misi perniagaan.

Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan eksport perkhidmatan pembinaan, bahan binaan dan penyelesaian teknologi hijau negara, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mempelbagaikan pasaran eksport dan meningkatkan daya saing global syarikat Malaysia.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan