KOTA KINABALU, 26 Mac (Bernama) -- Pelan Induk Taman Perindustrian Kota Belud dibentangkan pada mesyuarat Kabinet Negeri Sabah akan datang, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata pembentangan itu selaras dengan pengumuman kerajaan negeri sebelum ini untuk membangunkan taman perindustrian baharu di Kota Belud dan Kudat sebagai usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi di Sabah.
Menurut beliau, pelaksanaan pembangunan Taman Perindustrian Kota Belud akan dikendalikan Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), iaitu agensi di bawah kementeriannya.
“Selaku agensi yang diberi mandat untuk melaksanakan taman perindustrian ini kita akan mengangkat kertas Kabinet ini dan saya amat yakin Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan ahli-ahli Jemaah Menteri yang lain dapat memberi sokongan terhadap cadangan ini, seterusnya membolehkan kita memulakan usaha pemasaran dan menarik pelabur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ewon berkata secara keseluruhannya kira-kira 5,260 hektar telah dikenal pasti bagi pembangunan taman perindustrian itu yang akan dilaksanakan secara berfasa tertakluk kepada keputusan Kabinet Negeri.
“Dari segi lokasi, secara spesifiknya kawasan yang dicadangkan terletak di DUN Pintasan bersempadan dengan daerah Kota Marudu dan Kota Belud serta berhampiran kawasan pesisir Pantai Kota Belud.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat besar, sama ada dari dalam atau luar negara, bagi menggalakkan mereka mempertimbangkan pelaburan serta membuka operasi di taman perindustrian berkenaan.
“Sebagai seorang daripada ADUN di kawasan Parlimen Kota Belud, sudah semestinya ini satu kebanggaan kerana kita bakal menyediakan peluang ekonomi kepada masyarakat setempat sama ada kepada usahawan sedia ada untuk menyertai aktiviti rantaian perkhidmatan ataupun kepada para graduan warga Kota Belud untuk bekerja dengan perusahaan di Taman Perindustrian Kota Belud ini kelak,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa beliau akan mengetuai misi perdagangan ke luar negara serta mengiringi Ketua Menteri, khususnya ke China, bagi bertemu dengan pelabur berpotensi.
“Mudah-mudahan ia mendapat sokongan daripada masyarakat setempat kerana sudah tiba masanya Kota Belud mempunyai aktiviti ekonomi yang lebih besar seperti taman perindustrian yang boleh menjana ekonomi, selain Pekan Kota Belud,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial