EKONOMI > BERITA

HE GROUP SASAR PRESTASI LEBIH BAIK TAHUN DEPAN, DIPACU LONJAKAN PERMINTAAN PUSAT DATA

21/11/2025 12:01 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan kejuruteraan elektrik, HE Group Bhd menyasarkan untuk mencapai prestasi kewangan lebih baik tahun depan, didorong lonjakan permintaan pusat data di Malaysia serta sentimen positif susulan pemindahan penyenaraiannya ke Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini.

Berdasarkan makluman kepada bursa sebelum ini, syarikat itu mencatat keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM3.44 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2025 berbanding RM4.62 juta pada tempoh sama tahun lepas, manakala hasil merosot kepada RM32.3 juta daripada RM58.9 juta sebelumnya.

Pengarah Urusan HE Group Haw Chee Seng berkata hasil kumpulan terjejas berikutan pasaran mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai tarif Amerika Syarikat (AS).

"Selain segmen pusat data, kami akan memperkukuh kedudukan dalam sektor tenaga hijau dan projek infrastruktur. Seiring perkembangan ekonomi negara, kami bersedia merebut peluang yang sedang terbuka luas ini.

“Kami berharap lebih banyak projek dapat diperoleh selepas pemindahan penyenaraian ke Pasaran Utama hari ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pemindahan penyenaraian syarikat itu, di sini.

Sementara itu, Haw berkata jumlah tender HE Group kini bernilai RM850 juta, dengan lebih 80 peratus melibatkan projek berkaitan pusat data, termasuk projek pusat data di Cyberjaya, Selangor bernilai RM56.6 juta yang diperoleh pada Ogos lepas.

Beliau berkata projek itu merupakan langkah penting dalam usaha syarikat memenuhi keperluan operator global dan serantau yang mencari lokasi kemudahan di Malaysia yang lebih diyakini, boleh berkembang serta mempunyai sokongan operasi yang kukuh.

“Ia menggambarkan kedudukan kukuh kami dalam industri serta trajektori positif pembangunan pusat data negara, yang didorong oleh peningkatan penggunaan teknologi awan, transformasi digital dan minat pelabur yang berterusan,” kata beliau ketika berucap pada majlis itu.

Pada sesi dagangan pagi ini, HE Group dibuka rendah pada 36.5 sen di Pasaran Utama, iaitu diskaun setengah sen berbanding 37 sen pada hari terakhir dagangan di Pasaran ACE, dengan 140,000 saham diniagakan.

Haw berkata status penyenaraian di Pasaran Utama membolehkan syarikat beroperasi dari platform yang lebih kukuh melalui peningkatan keterlihatan, capaian lebih luas kepada pelabur institusi serta peluang baharu untuk pertumbuhan strategik.

“Lebih penting lagi, ia menandakan kesiapsiagaan kami untuk bersaing pada peringkat lebih tinggi dan memainkan peranan bermakna dalam pembangunan digital dan perindustrian negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan