EKONOMI > BERITA

UNTUNG BERSIH AMMB HOLDINGS MENINGKAT KEPADA RM534.58 JUTA PADA SUKU KEDUA

26/11/2025 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- AMMB Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi berjumlah RM534.58 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2026 daripada RM500.57 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.

Perolehan juga menokok kepada RM1.29 bilion daripada RM1.23 bilion bagi tempoh yang sama.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu menjelaskan keuntungan bersih meningkat kepada RM1.05 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 daripada RM1 bilion pada tempoh sama tahun kewangan 2025.

Pendapatan bersih meningkat 7.3 peratus tahun ke tahun kepada RM2.58 bilion daripada RM2.41 bilion sebelum ini, disokong oleh peningkatan pendapatan faedah bersih (NII) dan pendapatan bukan faedah (NOII).

“NII meningkat 5.0 peratus tahun ke tahun kepada RM1.85 bilion, didorong oleh pengembangan margin faedah bersih sebanyak 1.99 peratus tahun ke tahun," menurutnya.

Mengenai prospek, AMMB Holdings menjelaskan AmBank Group kekal optimis mengenai prospeknya, disokong oleh pelaksanaan Belanjawan 2026 yang pragmatik sekali gus mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal dan ekonomi Malaysia di samping memastikan peningkatan kualiti hidup rakyat.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2025, meningkat daripada 4.4 peratus pada suku kedua 2025, menjadikan pertumbuhan negara bagi sembilan bulan pertama pada 4.7 peratus, tambahnya.

"Pertumbuhan ekonomi dipacu oleh peningkatan eksport awal, perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, pasaran buruh yang positif serta ketibaan pelancong yang lebih tinggi, antara faktor lain.

"Susulan prestasi yang lebih kukuh berbanding jangkaan ini, kami telah menyemak unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 kami kepada 4.5 peratus, selepas pertumbuhan 5.1 peratus pada 2024," tambahnya.

Berdasarkan kedudukan modal yang terus kukuh, syarikat itu mengisytiharkan dividen interim lebih tinggi iaitu 12.5 sen bagi setiap saham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2026, meningkat 21.4 peratus tahun ke tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan