EKONOMI > BERITA

PRESTASI DAGANGAN MALAYSIA DIUNJUR KEKAL POSITIF -- MBSB IB 

26/11/2025 10:08 AM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Prestasi perdagangan Malaysia dijangka kekal positif dalam jangka masa terdekat, di tengah-tengah persekitaran global yang mencabar serta kelemahan permintaan daripada rakan dagang utama, kata MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).  

Momentum pertumbuhan Malaysia juga dijangka meningkat susulan peningkatan Indeks Pelopor (IP), berkembang +0.8 peratus tahun ke tahun pada September 2025 selepas susut -0.3 peratus pada dua bulan sebelumnya.

Bank pelaburan itu berkata, keadaan ini didorong oleh peningkatan dalam dua komponen yang diterajui oleh pertumbuhan dua digit yang kukuh dari segi Jumlah Syarikat Baru Didaftarkan (+16.0 peratus y-o-y) dan Import Sebenar Semikonduktor (+15.8 peratus y-o-y).

“Jangka panjang lebih lancar itu menunjukkan IP pada September 2025 kekal di bawah 100.0 mata yang membayangkan momentum pertumbuhan lebih perlahan pada masa depan dengan pertumbuhan dijangka disokong oleh aktiviti pelbagai sektor serta asas domestik yang kukuh," katanya dalam nota tinjauannya hari ini.

Bagaimanapun dari segi bulanan, IP turun -0.5 peratus bulan ke bulan susulan kelemahan prestasi dalam tiga daripada tujuh komponen -- Jumlah Unit Perumahan Diluluskan (-0.7 peratus bulan ke bulan), Import Sebenar Logam Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain (-0.5 peratus) dan Nilai Jangkaan Jualan bagi Pembuatan (-0.1 peratus).

Selain itu, Indeks Serentak yang turut memaparkan prestasi ekonomi semasa, mencatat pertumbuhan lebih pantas pada +2.6 peratus bulan ke bulan pada September 2025 apabila mencecah 129.1 mata.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan