EKONOMI > BERITA

KEUNTUNGAN BERSIH GENTING PLANTATIONS MELONJAK KEPADA RM86.5 JUTA

26/11/2025 08:57 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Genting Plantations Bhd melonjak kepada RM86.50 million untuk suku ketiga berakhir 30 Sept 2025 berbanding RM83.05 juta yang dicatatkan pada tahun sebelum ini disebabkan harga isirong sawit (PK) dan jumlah jualan yang lebih kukuh.

Pendapatan meningkat kepada RM846.96 juta daripada RM718.53 juta, disokong oleh peningkatan sumbangan daripada segmen hartanah yang datang melalui pelancaran projek-projek baharu termasuk jumlah jualan dalam segmen pembuatan hiliran.

Menurut Genting Plantations, harga minyak sawit mentah (MSM) pada suku ketiga 2025 kekal disokong oleh kenaikan dalam permintaan biodiesel dan dorongan minat membeli dari India menjelang musim perayaan. 

"Bagaimanapun, lambakan dalam inventori kacang soya Amerika Syarikat (AS) susulan import China yang merosot telah menjejaskan harga kacang soya, menyebabkan minyak sawit menerima tempias," katanya melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi suku ketiga 2025, kumpulan itu meraih harga MSM yang setanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya tetapi lebih tinggi dari tahun ke tahun dan dari tahun ke tarikh terkini.

"Harga PK yang dicapai oleh kumpulan menokok selepas disokong oleh permintaan global yang berterusan di tengah-tengah bekalan laurik yang terhad," katanya.

Untuk suku yang ditinjau, purata harga jualan MSM adalah RM3,779 setan berbanding RM3,725 yang dicatatkan pada tahun lepas, manakala harga jualan purata PK adalah RM3,294 setan daripada RM2,590 yang direkodkan semasa suku ketiga 2024.

Sementara itu, syarikat itu berkata pengeluaran tandan buah segar (FFB) pada suku ketiga 2025 merosot dari tahun ke tahun disebabkan oleh trend tanaman rendah yang dialami oleh beberapa estet milik kumpulan.

Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih meningkat kepada RM340.33 juta berbanding RM211.0 juta, manakala pendapatan naik kepada RM2.33 bilion daripada RM2.08 bilion.

Genting Plantations melalui kenyataan berasingan berkata prospek kumpulan untuk sepanjang tahun akan menjejaki prestasi segmen ladang utama, yang seterusnya, bergantung pula kepada pergerakan harga produk sawit dan pengeluaran FFB kumpulan.

Memandangkan respons yang menggalakkan terhadap perkembangan dalam segmen hartanah seperti U.Reka di Genting Indahpura dan Genting Industrial City di Genting Pura Kencana (kedua-duanya di Johor), kumpulan itu sedang merancang lebih banyak pelancaran.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan