EKONOMI > BERITA

PEMBELI DARI CHINA DISARAN BERUNDING BAGI PEROLEH HARGA MINYAK SAWIT LEBIH BAIK -- KPK

27/11/2025 02:44 PM

PETALING JAYA, 27 Nov (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyarankan pembeli minyak sawit dari China supaya berunding dengan pemain tempatan bagi mendapatkan minyak sawit pada harga yang lebih baik.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata demikian susulan penyusutan jumlah eksport minyak sawit Malaysia ke China, berpunca daripada penurunan harga minyak soya.

"Perbezaan harga minyak soya dan minyak sawit adalah sekitar AS$120, jadi sudah tentu China melihat minyak soya sebagai altenartif untuk mereka membeli bagi kegunaan rakyat.

"Jadi, saya sarankan (pembeli minyak sawit dari China) untuk berjumpa dengan (pemain industri di Malaysia untuk berbincang.

“Jika mereka dapat memberi komitmen untuk membeli (minyak sawit) bagi tempoh satu tahun, mungkin mereka akan mendapat diskaun," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas sesi dialog bersama pembeli minyak sawit dari China di sini hari ini.

Johari turut menggesa syarikat dari China untuk mengunjungi Malaysia, dan menjalinkan kerjasama dengan pelabur Malaysia, sekali gus meneroka pasaran negara ini. 

“China mempunyai keupayaan teknologi yang luas merentasi segmen huluan, pertengahan dan hiliran, serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang kukuh bagi memacu aplikasi baharu dan mengiktiraf manfaat minyak sawit.

“Oleh itu, dengan usaha sama seperti itu, mereka boleh menjadi syarikat Malaysia yang sebenar dan dimiliki bersama pelabur tempatan, dan dengan itu, Malaysia dengan mudahnya mendapat akses kepada pasaran global,” tambahnya. 

Terdahulu, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah menganjurkan lawatan rangkaian perdagangan untuk 37 pembeli minyak sawit terkemuka China bagi mengukuhkan kerjasama minyak sawit antara kedua-dua negara.

Lawatan yang bermula dari 25-27 Nov, melibatkan kunjungan ke tapak utama kemudahan ladang dan penapisan, bagi membolehkan mereka mendapat maklumat mengenai ekosistem pengeluaran Malaysia yang mampan dan berkualiti tinggi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan