Oleh Abdul Hamid A Rahman dan Mikhail Raj Abdullah
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Johor menjangkakan akan mengekalkan trajektori ekonomi kukuh tahun ini dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.4 peratus, menyamai prestasi tahun lepas manakala pertumbuhan untuk 2026 diunjur berada dalam lingkungan antara 4.8 dan 6.8 peratus.
Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Negeri Johor Datuk Seri Hasni Mohammad berkata walaupun terdapat ketidakpastian global, negeri itu yakin dapat mengulangi prestasi baik tahun depan, hasil daripada faedah ekonomi diperoleh daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
JS-SEZ telah menarik pelaburan yang membawa masuk syarikat dan pusat data asing, mengukuhkan ekosistem perindustrian, mewujudkan pekerjaan, meningkatkan gaji dan melonjakkan aktiviti komersial keseluruhan
“Bagi 2025, kami yakin boleh menyemak semula anggaran KDNK kami kepada 6.4 peratus sekali lagi daripada unjuran awal 4.8 peratus. Bagi 2026, Johor menjangkakan pertumbuhan akan lebih rendah sedikit dalam lingkungan 4.8-6.8 peratus,” katanya dalam program “The Nation” terbitan Bernama TV, dihoskan oleh Jessy Chahal.
Hasni berkata prestasi ekonomi Johor lazimnya bergerak seiring dengan trend KDNK negara, bagaimanapun inisiatif dan momentum pelaburan semasa mungkin mendorong negeri itu mengatasi purata kebangsaan.
JS-SEZ terus menjadi pemangkin utama pelaburan, menarik minat yang tinggi daripada syarikat domestik dan asing, katanya.
Sejak pemeteraian rangka kerja JS-SEZ awal tahun ini, Pusat Fasilitasi Iskandar Malaysia menerima lebih daripada 900 pertanyaan, termasuk 122 dari Singapura, manakala 44 syarikat telah menyatakan minat pelaburan yang konkrit sehingga Oktober 2025.
“Pelaburan ini akan mencipta pekerjaan, meningkatkan kadar gaji dan mengukuhkan ekosistem perindustrian Johor terutamanya dalam sektor khusus seperti pusat data dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Beliau berkata pelaburan daripada syarikat Singapura telah memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Johor kerana firma yang menubuhkan operasi di negeri itu menawarkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan dan meningkatkan hasil negeri.
Pada masa sama, Hasni menolak persepsi bahawa JS-SEZ akan memihak kepada syarikat dari Singapura dengan menjejaskan perniagaan Malaysia.
“Lebih separuh daripada firma Singapura yang mengadakan libat urus dengan Enterprise Singapore digalakkan untuk melabur di Johor, secara langsung memberi manfaat kepada Johor menerusi penciptaan pekerjaan, peluang pendapatan lebih tinggi dan hasil meningkat,” katanya.
Enterprise Singapore adalah lembaga berkanun di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri kerajaan Singapura yang bertanggungjawab menggalakkan pembangunan perusahaan.
“Apabila mereka melabur di Johor, mereka mencipta pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi negeri, justeru adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa Singapura mendapat keuntungan lebih daripada kita (Johor),” katanya.
Beliau berkata bagi menyokong peningkatan aktiviti komersial dan keperluan mobiliti masa depan, Johor sedang menjalankan penaiktarafan jalan utama termasuk melebarkan bahagian utama Lebuhraya Utara-Selatan yang menuju ke Johor Bahru daripada empat lorong kepada enam lorong.
“Penaiktarafan ini penting untuk mengurangkan kesesakan dan memastikan ketersambungan yang lancar apabila ekonomi Johor berkembang.
“Penambahbaikan pengangkutan awam akan mengambil masa, sehubungai itu menambah baik kapasiti lebuh raya kekal penting untuk menyokong aktiviti ekonomi semasa dan masa hadapan dan penambahbaikan serupa juga sedang dijalankan ke arah wilayah timur Johor,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial