KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Selama tiga hari, Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) serta Pameran Industri Bangunan dan Pembinaan Antarabangsa Malaysia (BuildXpo) 2025 telah berjaya menarik sejumlah 15,987 profesional industri dan pelawat perdagangan.
BuildXpo 2025 mencapai RM1.41 bilion dalam potensi jualan melalui gabungan sesi padanan perniagaan, program pembeli terpilih termasuk urus niaga di situ.
Diadakan mulai 28 hingga 30 Okt di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), ICW & BuildXpo 2025 ditutup dengan keberhasilan yang mantap, memecahkan rekod dan melampaui jangkaan. Acara ini dianjurkan secara bersama oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia serta Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd. Acara tahunan ini bertemakan "Constructing the Future of ASEAN".
Penganjur melalui satu kenyataan bersama menjelaskan kejayaan yang luar biasa ini mencerminkan tarikan Malaysia yang semakin meningkat sebagai hab perdagangan dan pelaburan utama bagi sektor persekitaran serta pembinaan, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai platform pembinaan terkemuka di Malaysia dan Asia Tenggara.
Penjanaan meluas dalam perniagaan ini telah didorong sebahagian besarnya oleh perkongsian strategik dan jualan pameran bernilai tinggi, dengan memorandum persefahaman (MoU) dan potensi tawaran peringkat tinggi yang telah menyumbang lebih daripada RM1.05 bilion, manakala unjuran jualan serta transaksi pameran menambah sekitar RM322 juta lagi.
Sementara itu, Program Penyumberan Antarabangsa, yang dianjurkan bersama dengan MATRADE dan Program Pembeli Terpilih yang dihoskan oleh Qube, menjana tambahan sebanyak RM30.8 juta.
Acara itu juga mencatatkan kenaikan penyertaan antarabangsa, dengan peserta pameran dan pembeli dari Malaysia, Austria, Bangladesh, Brunei, Kemboja, China, India, Kuwait, Singapura, Afrika Selatan, Sri Lanka, Sweden, United Kingdom, Amerika Syarikat, dan banyak lagi.
Antara kemuncak utama BuildXpo 2025 adalah penyertaan yang mantap daripada Pavilion Kemboja, yang mewakili peranan negaranya yang semakin berkembang dalam infrastruktur dan pelaburan serantau.
Ketua Eksekutif CIDB Malaysia Zainora Zainal berkata kejayaan ICW & BuildXpo 2025, di samping ICW Borneo yang julung diadakan awal tahun ini, mencerminkan ketahanan dan kebolehsuaian industri pembinaan yang semakin meningkat dalam penerimaan kelestarian, teknologi serta inovasi.
"Hasil perniagaan yang kukuh tahun ini dan penyertaan global telah menegaskan semula peranan Malaysia sebagai hab utama untuk kerjasama serantau dalam persekitaran pembinaan. CIDB akan terus memacu inisiatif untuk mempercepatkan transformasi digital, mengukuhkan piawaian industri selain menyokong pertumbuhan yang mampan selaras dengan agenda pembangunan negara," katanya.
Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia Richard Teo berkata penyertaan antarabangsa yang semakin bertambah terutamanya melalui pavilion negara dan delegasi perdagangan, menunjukkan bagaimana Malaysia terus berfungsi sebagai platform dinamik dalam menghubungkan pemain global dengan ekosistem pembinaan yang pesat berkembang di rantau ini.
Untuk edisi 2026 acara itu, yang dijadualkan pada 10-12 Nov di MITEC, menjanjikan acara yang lebih besar dengan pengenalan pameran baharu yang dibuat serentak iaitu GlassTech Asia and Fenestration Asia (GAFA) 2026, yang dianjurkan oleh Messe Munchen International (MMI) Asia Pte Ltd. Ia akan dibuat sempena dengan BuildXpo 2026, secara langsung akan melonjakkan profil Malaysia dalam persekitaran pembinaan global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial