EKONOMI > BERITA

ART: MALAYSIA TIADA OBLIGASI PENUHI KOMITMEN KOMERSIAL US$240 BILION ATAU PELABURAN US$70 BILION DI AS - LIEW

01/12/2025 11:49 AM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Malaysia tidak mempunyai sebarang obligasi untuk melaksanakan komitmen komersial bernilai anggaran US$240 bilion bagi pembelian barangan atau pelaburan bernilai US$70 bilion di Amerika Syarikat (AS) di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata ART tidak menuntut kerajaan untuk membeli barangan atau melabur di AS dalam nilai tertentu dan kerajaan tidak terikat untuk memenuhi sebarang jumlah yang dinyatakan dalam dokumen komersial tersebut.

Katanya kerajaan kekal komited memastikan perdagangan dua hala yang inklusif dan berdaya saing, pada masa yang sama memastikan integriti fiskal negara dipelihara dan tidak terganggu oleh perolehan komersial yang tidak melibatkan kerajaan.

“Komitmen yang dinyatakan di bawah ART adalah keputusan korporat syarikat, dilaksanakan melalui mekanisme pasaran dan tidak membentuk sebarang kewajipan negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan mengenai sama ada Malaysia perlu menunaikan komitmen membeli barangan dan melabur di AS bernilai kira-kira US$240 bilion di bawah ART Malaysia-AS dalam tempoh yang dipersetujui.

Liew berkata komitmen yang dinyatakan dalam ART merujuk kepada keputusan komersial serta perancangan perolehan sedia ada oleh syarikat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional Malaysia berdasarkan pertimbangan dan strategi perniagaan masing-masing.

Katanya kesemua urus niaga ini adalah berbentuk perniagaan kepada perniagaan dan didorong oleh keputusan komersial serta jangkaan pulangan pelaburan syarikat meliputi pembelian pesawat daripada Boeing, peralatan keselamatan, gas asli cecair (LNG), peralatan semikonduktor, komponen aeroangkasa, peralatan pusat data, peralatan telekomunikasi serta arang batu.

“Sebagai contoh, komitmen perolehan pesawat merupakan sebahagian daripada pelan pembaharuan dan peluasan armada kapal penerbangan negara yang dilaksanakan secara berfasa bagi menggantikan pesawat lama dan memastikan keselamatan serta kemampanan operasi selain menyokong pertumbuhan sektor pelancongan negara.

“Perolehan LNG pula merupakan komitmen bekalan jangka panjang oleh Petronas untuk memenuhi kontrak sedia ada, mengoptimumkan sumber dan memastikan kesinambungan penghantaran kepada pelanggan,” katanya.

Liew berkata perolehan ini adalah keputusan komersial Petronas dan bukan atas arahan kerajaan untuk memenuhi obligasi di bawah ART.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan