EKONOMI > BERITA

KWSP LANTIK MOHAMAD HAFIZ SEBAGAI CIO, AHMAD RIZAL SEBAGAI CFO

01/12/2025 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melantik Mohamad Hafiz Kassim sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) yang baharu dan Ahmad Rizal Omar sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO), kedua-duanya berkuat kuasa hari ini.

Menurut KWSP dalam kenyataan, Mohamad Hafiz menggantikan Rohaya Mohammad Yusof, yang telah menerajui Bahagian Pelaburan selama lebih lima tahun manakala Ahmad Rizal, sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Kewangan, menggantikan Mohamad Hafiz sebagai CFO. 

“Mohamad Hafiz telah berkhidmat di KWSP sejak 2008, memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan merentasi portfolio ekuiti persendirian, pasaran persendirian, pasaran modal dan hartanah. 

“Pengalaman luas beliau merentasi Bahagian Kewangan dan Pelaburan, digabungkan dengan pengetahuan institusi yang mendalam, menjadikan beliau calon yang tepat untuk menerajui strategi pelaburan KWSP ke hadapan,” katanya. 

Katanya Ahmad Rizal merupakan seorang akauntan bertauliah dengan pengalaman lebih 20 tahun, mempunyai kepakaran dalam penilaian pelaburan, kewangan korporat dan pengurusan kewangan. 

“Sebelum menyertai KWSP, beliau berkhidmat sebagai CFO di PLUS Malaysia Bhd serta memegang jawatan kanan di Istanbul Sabiha Gökçen International Airport, Malaysia Airports Holdings Bhd, Khazanah Nasional Bhd dan Axiata Group Bhd,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata pelantikan Mohamad Hafiz membawa pengalaman yang luas, kepimpinan yang mantap serta pemahaman yang tinggi terhadap falsafah pelaburan jangka panjang KWSP. 

Beliau berkata latar belakangnya dalam bidang pelaburan dan kewangan menempatkan beliau sebagai individu yang tepat untuk menerajui portfolio penting ini. 

“Kami yakin bahawa di bawah kepimpinan beliau, KWSP akan terus memberikan pulangan yang berdaya tahan dan mampan kepada ahli.

“Kami juga mengucapkan tahniah kepada Ahmad Rizal atas pelantikan sebagai CFO yang baharu. Kepimpinan dan kepakaran kewangan beliau akan terus memperkukuh pengurusan kewangan dan tadbir urus KWSP,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan