JOHOR BAHRU, 1 Dis (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) hari ini melancarkan Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-paru pertama di Johor Specialist Hospital (JSH) di sini, sekali gus menandakan fasa baharu transformasi kumpulan itu ke arah sistem kesihatan akademik bersepadu.
KPJ Healthcare dalam kenyataan memaklumkan pusat kecemerlangan pertama di bawah KPJ Health System (KPJHS) itu akan menjadi teras penyelarasan perkhidmatan melalui protokol rawatan yang seragam, semakan kes multidisiplin dan penambah baikan berasaskan data di seluruh rangkaiannya.
Menurut kenyataan itu, KPJHS mengintegrasikan tiga komponen utama iaitu amalan klinikal, pendidikan (melalui KPJ Healthcare University; KPJU) serta penyelidikan dan inovasi, bagi mengukuhkan tadbir urus klinikal serta meningkatkan pengalaman pesakit yang lebih konsisten di semua hospital KPJ.
"Selaras dengan pembangunan ini, KPJ Healthcare telah memeterai penglibatan khidmat rundingan dengan Mayo Clinic Global Consulting bagi memperkukuh keupayaan klinikal dan akademik kumpulan, merangkumi standard klinikal, pengalaman pesakit, rangka kerja pendidikan dan bidang penyelidikan bagi menyokong pembangunan pusat kecemerlangan, berasaskan amalan terbaik antarabangsa," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Pengerusi KPJU dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan KPJHS Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, berkata penubuhan pusat kecemerlangan tersebut membawa mandat yang jelas iaitu satu sistem, satu standard dan hasil yang lebih baik.
"KPJHS menyediakan hala tuju yang lebih tersusun untuk mencapai hasil yang boleh diukur, sekali gus memastikan pesakit menerima rawatan yang lebih selamat, akses yang lebih pantas dan pengalaman yang lebih konsisten di hospital-hospital kami.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan (sub: he) pula berkata pelancaran pusat berkenaan menandakan peralihan ke arah sistem kesihatan bersepadu yang menyeluruh.
"Amalan klinikal diperkukuh dengan pendidikan berstruktur dan penyelidikan yang diterapkan dalam rutin harian supaya kami dapat meningkatkan hasil rawatan serta menyediakan pengalaman yang lebih konsisten di seluruh rangkaian, melalui KPJHS, " katanya.
Penubuhan Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-Paru di JSH membuka lembaran baharu dalam pembangunan rangkaian 15 Pusat Kecemerlangan yang akan direalisasikan sehingga tahun 2030.
Inisiatif itu menjadi pemangkin kepada KPJHS dalam meningkatkan keupayaan klinikal, akses perkhidmatan dan nilai kepada pesakit serta komuniti di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial