EKONOMI > BERITA

MALAYSIA DISARAN MAJUKAN TEKNOLOGI RANTAIAN NILAI, TIDAK BERGANTUNG PENCAPAIAN LAMPAU

03/12/2025 01:53 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Malaysia perlu memajukan rantaian nilai teknologi bagi meningkatkan daya saing dan tidak bergantung kepada pencapaian lampau untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata negara kini memasuki era berteknologi tinggi, dengan Malaysia tersenarai antara 10 pengeksport utama barangan berteknologi tinggi di dunia pada 2023, mencatat eksport berteknologi tinggi berjumlah US$127 bilion, meningkat US$2 bilion berbanding tahun sebelumnya (US$1 = RM4.13).

Sehubungan itu, Chang menegaskan langkah pertumbuhan seterusnya memerlukan Malaysia beralih daripada aktiviti pemasangan dan ujian kepada reka bentuk, fabrikasi dan kepimpinan inovasi, sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara.

“Transformasi ini menuntut peningkatkan penyelidikan dan pembangunan melalui pelaburan dan kerjasama strategik; pengukuhan ekosistem inovasi, serta pembinaan rangkaian bakat sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bertaraf dunia bagi memastikan rakyat kita mampu berkembang dalam industri masa depan,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Cyberjaya Conversations 2025 di sini hari ini.

Beliau menekankan daya saing masa depan Malaysia bergantung kepada gabungan pelaburan langsung asing, inovasi tempatan dan pembangunan teknologi sendiri, selaras Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), yang menumpukan pada teknologi premium, AI dan ciptaan tempatan.

Chang berkata bakat tempatan kekal teras kepada masa depan berteknologi tinggi negara, dengan saintis, jurutera, penganalisis data dan usahawan tempatan menjadi arkitek masa depan negara.

“Hanya dengan cara itu teknologi benar-benar berkhidmat kepada masyarakat, dan kemajuan akan menjadi lestari dan adil,” katanya, sambil menambah bahawa diplomasi sains kini bukan pilihan tetapi keperluan strategik.

Beliau turut menekankan peranan ASEAN dalam transformasi serantau.

“ASEAN berada pada titik kritikal, untuk beralih daripada ekonomi berasaskan sumber kepada pertumbuhan berintensiti pengetahuan dan inovasi. Cabaran kolektif kita, daripada peralihan tenaga hingga teknologi hadapan, memerlukan kecerdasan kolektif dan penyelarasan sains,” kata beliau.

Chang berkata Malaysia kini bersedia memajukan platform ujian serantau,  perkongsian teknologi dan program mobiliti bakat bagi menempatkan ASEAN bukan sahaja sebagai pasaran berkembang tetapi juga sebagai pengeluar teknologi global yang akan membentuk Revolusi Perindustrian Keempat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan