GEORGE TOWN, 3 Dis (Bernama) -- InvestPenang dan Intel Corporation akan terus bekerjasama rapat untuk memperkukuh Pulau Pinang memandangkan negeri itu kini beralih ke bidang kritikal pembungkusan termaju cip semikonduktor dan penggunaan teknologi generasi baharu.
Dalam satu kenyataan, InvestPenang berkata ia telah mengenal pasti beberapa bidang berpotensi untuk kerjasama strategik dan meminta kepimpinan berterusan Intel dalam sektor itu.
"Dasar Malaysia yang sejajar dengan pelan hala tuju Intel ini memperkukuhkan lagi komitmen bersama untuk membangunkan bakat, memacu inovasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan memperkukuh daya tahan rantaian bekalan.
“Intel menyokong sepenuhnya visi negeri itu dan telah memperjuangkan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) sebagai pemangkin untuk meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam Pembungkusan Termaju dan Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC),” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas berlangsungnya mesyuarat antara Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Ketua Pegawai Eksekutif Intel Tan Lip-Bu, hari ini.
InvestPenang menekankan bahawa kehadiran Intel selama 50 tahun di Pulau Pinang telah memainkan peranan penting dalam mengubah Malaysia menjadi salah satu hab semikonduktor yang paling berdaya saing di dunia.
“Ketua menteri juga merakamkan penghargaan beliau kepada Intel atas komitmen jangka panjangnya, yang telah memacu pertumbuhan di Malaysia dan Pulau Pinang, memupuk asas bakat yang kukuh, membangunkan rantaian bekalan yang bardaya tahan dan mewujudkan ekosistem kejuruteraan 'di sebalik tabir' yang diiktiraf di peringkat global,” katanya.
Sementara itu, Intel turut menzahirkan penghargaan mereka kepada Chow di atas sokongan padu kerajaan negeri Pulau Pinang dan agensi-agensi berkaitan, sambil menambah bahawa pelaburannya dalam Loji Pembungkusan Termaju untuk cip semikonduktor di Pulau Pinang telah mencapai perbelanjaan modal sebanyak RM12 bilion dalam infrastruktur dan kini 99 peratus siap.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial