KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Pasaran minyak sawit mentah (MSM) diunjurkan mengalami prospek rendah ketika permulaan dagangan 2026, berikutan harga yang agak tinggi tahun ini.
Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC Ratings) mengunjurkan harga berada dalam julat antara RM3,850 satu tan dengan RM4,250 satu tan tahun depan berbanding RM4,300 satu tan pada 2025.
Firma itu menjelaskan trajektori yang hambar itu susulan corak cuaca yang lebih menggalakkan, pemulihan hasil dan normalisasi pengeluaran global secara beransur-ansur sekali gus mencerminkan perubahan daripada keadaan kekangan bekalan yang dialami pada awal 2025.
“Walaupun harga MSM adalah tinggi pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, lonjakan bekalan yang tidak dijangka di Indonesia menyebabkan harga kekal di bawah unjuran awal MARC Ratings,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
MARC Ratings memaklumkan bagaimanapun, peningkatan bekalan secara keseluruhan telah membawa kepada kemuncak harga MSM yang lebih rendah pada 2025 berbanding semasa 2024, dengan harga MSM memuncak pada RM4,875 pada 2025, lebih rendah daripada paras tertinggi 2024 iaitu RM5,343.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan pengeluaran minyak sawit telah disokong oleh pemulihan hasil susulan keadaan cuaca yang baik selepas fenomena El Nino 2023-2024.
“Pengeluaran di Indonesia meningkat ketara sebanyak 11.3 peratus setakat ini bagi 2025 sehingga September 2025, manakala Malaysia mencatatkan peningkatan sederhana 1.8 peratus setakat Oktober 2025,” jelas firma itu.
MARC Ratings menjelaskan memasuki tempoh 2026, dinamik permintaan kekal menyokong secara keseluruhan meskipun terdapat variasi antara pasaran.
Unjuran Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) menunjukkan penggunaan minyak sawit global akan meningkat, walaupun masih sedikit di bawah jumlah pengeluaran.
“India, pengimport terbesar MSM, dijangka mengekalkan pembelian yang tinggi, disokong oleh daya saing harga minyak sawit berbanding minyak kacang soya dan minyak bunga matahari,” menurutnya.
Sementara itu, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) mengunjurkan penggunaan minyak dan lemak global meningkat sebanyak 2.1 peratus pada 2026, yang dipacu terutama oleh sektor biobahan api, tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial