KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Likuiditi Islam Antarabangsa (IILM) menerbitkan semula sejumlah US$1.365 bilion sukuk jangka pendek merentasi empat tempoh dalam lelongan terakhirnya bagi 2025.
Penerbit instrumen pengurusan mudah tunai jangka pendek patuh syariah terkemuka di dunia itu berkata, terbitan tersebut ditetapkan pada harga 4.00 peratus untuk US$330 juta (tempoh satu bulan), 4.04 peratus untuk US$660 juta (tempoh tiga bulan) dan 3.90 peratus untuk US$325 juta (tempoh enam bulan).
Selain itu, turut ditetapkan 3.85 peratus untuk US$50 juta (tempoh sembilan bulan).
Urus niaga berkenaan menandakan lelongan sukuk ke-21 IILM setakat ini yang membawa jumlah terbitan pada 2025 kepada US$22.9 bilion merentasi 69 siri dengan tempoh yang berbeza iaitu terbitan kumulatif tahunan tertinggi dalam sejarah organisasi tersebut, kata IILM dalam satu kenyataan hari ini.
Terbitan terbaharu ini dijalankan di bawah program terbitan sukuk jangka pendek IILM sebanyak US$8.5 bilion yang mendapat penarafan “A-1” daripada S&P Global Ratings dan “F1” daripada Fitch Ratings.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IILM Mohamad Safri Shahul Hamid berkata perbadanan itu mencatatkan jumlah terbitan tahunan tertinggi iaitu sebanyak US$22.9 bilion.
Katanya ia menunjukkan peningkatan sebanyak 76 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan menjalankan lelongan terbanyak dalam satu tahun kalendar selain mengekalkan nisbah bidaan kepada perlindungan yang konsisten kukuh merentasi semua tempoh.
"Keputusan ini mencerminkan kedalaman mudah tunai dalam sistem kewangan Islam dan pengukuhan peranan IILM sebagai penyedia instrumen jangka pendek patuh syariah yang boleh dipercayai," katanya.
Mohamad Safri turut menekankan portfolio sukuk jangka pendek IILM yang belum tamat tempoh juga mencapai paras tertinggi rekod sebanyak US$6.4 bilion iaitu peningkatan sebanyak 82 peratus berbanding hanya 18 bulan yang lepas.
Selain daripada lonjakan dalam aktiviti terbitan, IILM memperbesarkan program sukuknya kepada US$8.5 bilion.
Sukuk jangka pendek IILM diedarkan oleh rangkaian peniaga utama yang pelbagai dan berkembang di seluruh dunia seperti Abu Dhabi Islamic Bank, Al Baraka Turk, Affin Islamic Bank, AlRayan Bank, Boubyan Bank, CIMB Islamic Bank Bhd dan Dukhan Bank.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial