KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR), pusat pembangunan kapasiti dan latihan di bawah Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank), telah memperkasa lebih 3,000 usahawan mikro di seluruh negara menerusi inisiatif Maju Usahawan MADANI (MUM).
Dalam kenyataannya, CEDAR berkata inisiatif itu terus membantu golongan sasaran dengan pendekatan pembangunan yang praktikal dan menumpukan keperluan mereka, selain memperkukuh asas perniagaan yang diterajui wanita, belia serta perusahaan peringkat awal.
Ketua Pegawai Eksekutif CEDAR Amirul Imran Ahmat berkata inisiatif MUM telah menyokong lebih 3,000 usahawan mikro merangkumi 90 kohort di seluruh negara melalui pelaksanaan secara fizikal dan hibrid dalam talian, sekali gus mencerminkan peningkatan aspirasi dalam kalangan usahawan tempatan.
“Penyertaan sebanyak 1,256 (42 peratus) usahawan wanita dan 757 (25 peratus) usahawan belia menunjukkan impak program ini terhadap dua segmen penting yang membentuk landskap keusahawanan negara,” katanya dalam kenyataan sama.
Beliau juga menyifatkan sokongan kerajaan menerusi Belanjawan 2026 yang memperuntukkan sejumlah RM2 juta bagi MUM, hanya mengukuhkan lagi usaha CEDAR untuk melahirkan lebih banyak usahawan berpotensi tinggi pada tahun depan.
Pada masa sama, Amirul Imran berkata CEDAR juga sedang mempertingkatkan usaha dengan mengukuhkan pengurusan kewangan PMKS, memperluas penggunaan digital dan AI serta menanamkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi membina perusahaan yang lebih berdaya tahan.
“Tumpuan yang semakin meningkat terhadap usahawan luar bandar turut membuka peluang bagi memperluas sokongan bersasar, menjadikan inisiatif MUM penting dalam menyokong golongan memerlukan dengan kemahiran praktikal dalam AI, strategi perniagaan, pengurusan kewangan, pendigitalan dan kelestarian,” katanya.
Setakat ini, CEDAR telah memperkasa hampir 88,000 usahawan melalui lebih 3,500 program latihan berstruktur yang merangkumi kemahiran insaniah, literasi kewangan, strategi, inovasi dan penggunaan teknologi digital.
Sokongan pembangunan kapasiti itu turut dilengkapkan dengan akses pembiayaan SME Bank serta program melangkaui pembiayaan, termasuk hampir RM2 bilion melibatkan inisiatif strategik yang diumumkan di bawah Belanjawan 2026.
Kesemua inisiatif ini memperkukuh pertumbuhan keusahawanan dalam sektor pelancongan, industri berorientasikan eksport, teknologi dan Industri 4.0, ekosistem halal, kelestarian dan peralihan karbon rendah, keusahawanan wanita, pembangunan francais serta pemerkasaan perusahaan sosial, kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial