EKONOMI > BERITA

BANK ISLAM SASAR LONJAKAN PENGGUNA BIMB BIZ 50 PERATUS MELALUI PAYMENT TO VOICE

10/12/2025 02:49 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) menyasarkan peningkatan lebih 50 peratus pengguna aplikasi BIMB Biz selepas pelancaran ciri baharu Payment to Voice yang menawarkan notifikasi suara masa nyata bagi setiap transaksi tanpa memerlukan peranti tambahan.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Runcit BIMB Mizan Masram berkata sasaran itu dibuat berdasarkan pertumbuhan kukuh aplikasi tersebut yang kini mempunyai kira-kira 15,000 pengguna aktif dengan jumlah transaksi mencecah RM1.2 bilion sehingga Oktober lepas.

“Dengan pelancaran hari ini, kami menyasarkan peningkatan melebihi 50 peratus daripada paras semasa dalam masa 12 bulan.

“Apa yang membezakan ciri Payment to Voice BIMB Biz ialah kami menggunakan notifikasi bayaran tanpa menggunakan kotak suara (soundbox) dan tiada caj tambahan dikenakan,” katanya pada Majlis Pelancaran Payment to Voice di sini, hari ini.

Ciri Payment to Voice membolehkan peniaga menerima notifikasi suara secara serta-merta melalui peranti masing-masing bagi transaksi menggunakan Kod Respons Pantas (QR) DuitNow, sekali gus membantu mengurangkan risiko terlepas notifikasi pembayaran dan meningkatkan keselamatan.

Ciri itu juga membolehkan sehingga lima juruwang menerima notifikasi serentak melalui peranti masing-masing, memudahkan pemantauan transaksi secara langsung oleh pemilik perniagaan.

Payment to Voice turut disasarkan untuk memperkasakan segmen perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang merupakan pengguna utama BIMB Biz sejak diperkenalkan pada 2021.

Menurut Mizan, digitalisasi amat penting bagi peniaga kecil kerana rekod transaksi yang teratur membantu mereka menguruskan transaksi perniagaan dengan lebih mudah dan selamat.

“Teknologi harus memudahkan urusan peniaga dan bukan menambah beban. 

“Payment to Voice direka untuk memenuhi keperluan sebenar PMKS dengan mengawal kos, meningkatkan keselamatan dan membantu merekodkan urus niaga secara teratur,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan