KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Southern Score Builders Bhd mengumumkan anak syarikat milik 51 peratusnya, SJEE Engineering Sdn Bhd, hari ini menerima surat anugerah (LoA) daripada sebuah syarikat pembinaan tempatan untuk melaksanakan kerja-kerja subkontrak bagi projek pusat data bernilai RM87.8 juta.
Syarikat itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata kerja-kerja subkontrak berkenaan melibatkan pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem elektrik dan voltan yang sangat rendah.
“Lembaga pengarah berpendapat projek ini merupakan urusan biasa perniagaan dan demi kepentingan terbaik untuk kumpulan,” katanya.
Southern Score Builders berkata LoA yang diterima oleh SJEE Engineering untuk melaksanakan projek itu tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham dan struktur pegangan saham syarikat dan tidak akan ada sebarang kesan serta-merta ke atas aset bersih sesaham serta tahap kadar hutang syarikat.
“Bagaimanapun, projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih dan pendapatan sesaham syarikat serta kumpulannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2026 dan seterusnya sehingga projek disiapkan,” tambahnya.
Tarikh permulaan projek itu pada 3 Disember, 2025 dan jangkaan siap adalah pada 7 Disember, 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial