EKONOMI > BERITA

KENAIKAN PENGECUALIAN NILAI AMBANG E-INVOIS BERI LEBIH MASA, KELONGGARAN KEPADA INDUSTRI – PIKOM

10/12/2025 08:13 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM) mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk meningkatkan nilai ambang pengecualian e-Invois.

Menurut PIKOM, keputusan itu memberikan lebih masa dan fleksibiliti yang amat diperlukan oleh pemain industri untuk bersedia menjelang pelaksanaan sepenuhnya e-Invois, terutamanya dalam sektor teknologi. 

Pengerusinya, Alex Liew berkata langkah itu amat penting bagi pemain industri untuk mengukuhkan struktur dalaman mereka sebelum sistem itu dilaksanakan dengan sepenuhnya. 

“Kami merasakan pelaksanaan e-Invois di setiap peringkat akan mengambil masa, tetapi yang penting, industri diberikan masa yang cukup untuk bersedia dan menerima e-Invois. 

“Bagi syarikat yang lebih besar, saya fikir sebahagian besarnya sudah selesai. Bagi syarikat yang lebih kecil, kami perlu memberikan sedikit kesedaran dan bantuan mengenai metodologi sistem,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi Perkongsian Pertumbuhan Digital antara Exabytes Network Sdn Bhd and Stradaverse Sdn Bhd di sini hari ini. 

Alex turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan geran dan rebat cukai untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam melaksanakan e-Invois.

“Sebarang geran padanan sebanyak RM5,000-RM10,000 kepada PKS sangat membantu dalam keseluruhan proses. 

“Rebat cukai juga bermanfaat, selagi ada galakan untuk membantu, terutamanya PKS yang mengguna pakai e-Invois.

“Ia merupakan satu sistem yang baik, dan kami memerlukan peralihan yang betul,” kata Alex. 

Terdahulu, pada 6 Dis, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan meningkatkan nilai ambang pengecualian e-Invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta bermula tahun depan, sebagai sebahagian daripada usaha untuk meringankan beban PKS. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan menerima maklum balas daripada pemilik perniagaan kecil mengenai kos pelaksanaan sistem itu. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan