KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3), yang dipengerusikan bersama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerbitkan Panduan Pembiayaan Mampan dan Peralihan (STFG).
STFG menggariskan prinsip utama yang boleh digunakan oleh institusi perbankan bagi menilai peminjam pada peringkat aset dan entiti dalam penyediaan pembiayaan mampan serta pembiayaan peralihan, kata JC3.
Ia dibangunkan oleh kumpulan kerja yang diterajui pihak industri iaitu Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Securities Sdn Bhd dan HSBC Amanah Malaysia Bhd, dengan sokongan BNM dan SC.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata STFG merupakan hasil kerjasama erat antara industri perbankan dan pihak pengawal selia.
“Ia menterjemahkan prinsip global kepada panduan praktikal dan boleh dilaksanakan yang bersesuaian dengan konteks Malaysia, di samping menyokong peralihan ekonomi sebenar negara,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Novan Amirudin pula berkata seiring dengan kemajuan aspirasi iklim dan kemampanan Malaysia, permintaan terhadap penyelesaian pembiayaan peralihan yang berwibawa dan praktikal semakin menjadi keperluan utama.
“Menerusi STFG ini, kami berhasrat untuk memperkukuh keupayaan kolektif industri perbankan dalam menggerakkan pembiayaan mampan dan peralihan yang berintegriti pada skala lebih besar, bagi merangsang pertumbuhan ekonomi serta memajukan keadilan sosial, sambil mengekalkan tahap ketelusan dan integriti tertinggi dalam amalan pembiayaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah Raja Amir Shah berkata bank itu komited untuk menyokong usaha kolaboratif dalam memperkukuh daya tahan iklim sektor kewangan Malaysia.
“STFG memainkan peranan penting dalam mempromosikan amalan mampan dan peralihan yang bertanggungjawab dalam kalangan institusi kewangan di Malaysia, selain berfungsi sebagai rujukan bagi inisiatif pembinaan kapasiti yang boleh dipacu oleh JC3,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, panduan ini mengiktiraf kepelbagaian taksonomi nasional dan global yang tersedia kepada bank, serta menerangkan pendekatan yang boleh diambil sekiranya sesuatu aset, projek atau entiti tidak memenuhi sepenuhnya keperluan yang digariskan dalam taksonomi berkenaan.
STFG juga menyediakan alat bagi membantu bank menjalankan penilaian yang konsisten dan berwibawa terhadap kemajuan peralihan pelanggan, sekali gus menyokong aliran modal ke arah aktiviti dan syarikat yang menunjukkan kemajuan sebenar dan boleh diukur ke arah masa depan rendah karbon.
Pelancaran STFG yang berlangsung pada 2 Disember lepas di Sasana Kijang disaksikan Penolong Gabenor BNM merangkap Pengerusi Bersama JC3, Madelena Mohamed; Ketua Pegawai Kemampanan SC, Neetasha Rauf; serta barisan pengurusan kanan daripada Maybank, CIMB dan HSBC Amanah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial