EKONOMI > BERITA

ANAK SYARIKAT GADANG MEMETERAI PPA FOTOVOLTAN SOLAR BERSKALA BESAR DENGAN SABAH ELECTRICITY

18/12/2025 08:53 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Gadang Holdings Bhd mengumumkan bahawa anak syarikat milik 60 peratusnya, Tenaga Aspirasi Sdn Bhd (SPP) hari ini telah menandatangani perjanjian pembelian tenaga fotovoltan solar (PPA) berskala besar dengan Sabah Electricity Sdn Bhd.

Gadang melalui satu makluman kepada kepada Bursa Malaysia bahawa SPP akan mereka bentuk, membina, menguji, mentauliahkan, memiliki, mengendalikan dan menyelenggara kemudahan penjanaan tenaga fotovoltan solar dengan kapasiti arus ulang-alik 15 Megawatt (MWac) yang terletak di Tawau, Sabah.

Ia adalah untuk sambungan ke rangkaian pengedaran voltan sederhana Sabah Electricity di pencawang pengedaran utama Kubota bagi menjana dan menghantar tenaga fotovoltan solar kepada Sabah Electricity.

"PPA mengawal kewajipan SPP dan Sabah Electricity untuk menjual dan membeli tenaga yang dijana oleh kemudahan itu bagi tempoh 25 tahun dari tarikh operasi komersil, yang dijangka pada 30 Nov 2026, mengikut terma dan syarat yang dipersetujui dalam PPA berkenaan," katanya.

Menurut Gadang, pemeteraian PPA itu tidak akan memberi sebarang kesan material ke atas pendapatan dan aset bersih Gadang serta anak-anak syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026.

“Bagaimanapun, PPA tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan Gadang,” katanya sambil menambah bahawa lembaga pengarah Gadang berpendapat pelaksanaan PPA itu adalah demi kepentingan terbaik kumpulan Gadang

Sebelum ini, Gadang telah menerima surat penerimaan daripada SPP untuk melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan projek loji tenaga fotovoltan solar berskala besar 15 MWac di Tawau, Sabah bernilai RM52 juta. 

Kontrak itu diperoleh melalui konsortium yang terdiri daripada anak syarikat milik penuhnya Gadang Engineering (M) Sdn Bhd dan JS Solar Sdn Bhd.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan