EKONOMI > BERITA

PHB PACU PENYERTAAN BUMIPUTERA DALAM HARTANAH SEBAGAI PEMANGKIN PEMBINAAN NEGARA

22/12/2025 02:16 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Memperluaskan penyertaan bumiputera dalam hartanah komersial merupakan tunjang penting Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) dalam agenda pembinaan negara, yang mana, PHB menjadi institusi utama untuk memacu penciptaan kekayaan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Institusi berkaitan kerajaan itu melihat hartanah komersial bukan semata-mata sebagai kelas aset tetapi sebagai mekanisme pembentukan modal dan penyertaan ekonomi, membolehkan pelabur bumiputera mendapat pendedahan terhadap hartanah yang mampu menjana pendapatan yang mampan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Mohamad Damshal Awang Damit berkata peranan pembinaan negara yang lebih luas ini telah membimbing pendekatan kepimpinannya sejak memegang jawatan itu, dengan tumpuan untuk mengukuhkan daya tahan, relevan serta kemampanan PHB dalam jangka panjang

 

Tiga tiang utama dalam strategi PHB

Beliau berkata strategi PHB berteraskan tiga tiang utama iaitu mengukuhkan daya tahan kewangan, menginstitusikan fungsi perniagaan utama dan membangunkan bakat dalaman bagi menyokong keupayaan institusi itu dalam menyampaikan mandatnya secara berdisiplin serta mampan.

“Misi kami jelas iaitu untuk mengukuhkan asas PHB supaya institusi ini dapat terus berkhidmat kepada penyertaan bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial selain menyumbang secara bermakna kepada pembinaan negara, bukan sahaja pada hari ini tetapi untuk beberapa dekad yang akan datang,” katanya kepada Bernama.

PHB menyampaikan mandatnya melalui Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), dana unit amanah patuh Syariah yang diuruskan kumpulan itu yang membolehkan penyertaan bumiputera dalam pemilikan hartanah utama melalui pelaburan.

Menurut Mohamad Damshal, penyertaan bumiputera dalam hartanah komersial masih kecil berbanding pasaran hartanah keseluruhan, ini menekankan keperluan untuk platform institusi seperti PHB bagi membantu merapatkan jurang.

Pengewangan hartanah mempunyai kesan berganda kepada ekonomi, membolehkan perniagaan memiliki “aset yang kurang membebankan” dengan membuka kunci modal yang terikat dalam hartanah, sebelum dilabur semula untuk mengembangkan operasi, memperoleh tanah atau mencipta pekerjaan.

Pelaburan semula ini membantu merangsang aktiviti ekonomi yang lebih  meluas, yang mana setiap RM1 yang dibuka kuncinya, berpotensi menjana sehingga RM3 dalam nilai merentas ekonomi.

“Melalui struktur ini, pelabur bumiputera bukan sahaja akan menerima dividen daripada pegangan unit amanah tetapi secara tidak langsung turut mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi yang lebih luas melalui pengembangan dan pusingan semula modal,” katanya. 

 

Memperkukuhkan daya tahan kewangan 

Daripada segi kewangan, Mohamad Damshal berkata PHB telah mengukuhkan kunci kira-kiranya melalui pembiayaan pasaran modal yang merangkumi Program Sukuk Murabahah Kelestarian sebanyak RM5.0 bilion, yang membawa penarafan “AAA/Stabil/P1” daripada RAM Ratings

Terbitan sulung RM1.5 bilion sukuk itu pada September 2024 menyaksikan keadaan terlebih langgan sebanyak 2.2 kali, menjana tempahan dalam tangan kira-kira RM3.0 bilion, ini membolehkan PHB menurunkan kos pembiayaannya dan menggunakan semula modal ke dalam pelaburan strategik.

 

Menginstitusikan fungsi perniagaan utama

Secara operasi, PHB telah menginstitusikan fungsi perniagaan utama dengan memasukkan pengurusan aset, pengurusan hartanah dan pengurusan kemudahan ke dalam anak syarikat khusus, ini meningkatkan akauntabiliti, produktiviti serta kecekapan kos di seluruh kumpulan.

“Ini adalah mengenai mendalami aset kami dan bukannya pengembangan ke luar, memastikan setiap fungsi beroperasi dengan agenda pulangan pelaburan yang jelas,” katanya.

Penstrukturan semula ini telah menyumbang kepada prestasi operasi yang lebih mantap merentasi portfolio hartanah PHB dan hasil kewangan yang lebih baik.

 

Membangunkan modal insan

 

Mohamad Damshal berkata, walaupun kekuatan kewangan dan disiplin operasi adalah kritikal, PHB mengiktiraf modal insan sebagai aset terpentingnya dalam menterjemahkan strategi serta pembaharuan struktur kepada prestasi yang mampan.

Ini menyebabkan PHB mengangkat pembangunan bakat sebagai keutamaan strategik melalui penubuhan pusat kecemerlangan (CoE) yang berdedikasi.

CoE ini bertujuan untuk meningkatkan latihan ke tahap profesional, mengguna pakai laluan pembelajaran berstruktur dan memupuk kepimpinan sedia masa depan di seluruh organisasi.

Beliau berkata inisiatif itu telah mengalihkan pembangunan bakat daripada pendekatan ad hoc kepada rangka kerja yang berdisiplin, dipacu hasil sehingga membolehkan kakitangannya di semua peringkat meningkatkan kemahiran secara berterusan dan mengamalkan pemikiran komersil serta tadbir urus yang lebih kukuh bagi menyokong mandat jangka panjang PHB.

 

Melonjakkan fokus kelestarian  

Mohamad Damshal ketika mengulas mengenai kelestarian berkata usaha PHB berfokus kepada rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) berstruktur yang menyepadukan kelestarian dalam keputusan pelaburan serta operasi harian.

Kumpulan itu baru-baru ini telah memperoleh lonjakan kepada “Gold 1” dalam penarafan kelestarian korporat RAM Sustainability, termasuk penarafan “Platinum” untuk tonggak sosial, mencerminkan peranan PHB dalam memajukan penyertaan bumiputera melalui AHB.

“Peningkatan ini mengesahkan kerja yang telah kami lakukan yang merentasi tonggak ESG, terutamanya dalam menjamin nilai yang kami hasilkan mampu diterjemahkan kepada manfaat ketara untuk pemegang unit bumiputera dan ekonomi secara lebih besar,” katanya.

Daripada segi alam sekitar, beliau berkata strategi PHB telah dipandu oleh Pelan Hala Tuju Tenaga PHB 2024-2030, yang menyelaraskan portfolio hartanah kumpulan dengan matlamat Sifar Bersih 2050 Malaysia melalui sasaran yang boleh diukur dan boleh dilaksanakan.

Sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju itu, 17 bangunan daripada 28 bangunan telah dilengkapi dengan sistem pemantauan tenaga, di samping audit tenaga, naik taraf diterajui kejuruteraan termasuk inisiatif tenaga boleh baharu untuk menambah kecekapan merentas portfolio.

“Menjelang 2030, inisiatif ini dijangka menjimatkan hampir 37 juta kilowatt-jam setiap tahun, bersamaan dengan hampir 44 peratus pengurangan dalam penggunaan tenaga, dengan tenaga boleh baharu menyumbang kira-kira tujuh peratus daripada jumlah penggunaan,” katanya.

Mohamad Damshal menjelaskan pulangan konsisten AHB iaitu lebih kurang lima peratus setahun, zakat bersih, di samping tumpuan kelestarian PHB yang kukuh telah mendorong keyakinan dan permintaan pelabur yang lebih tinggi, dengan bahagian dana baru-baru ini dilanggan sepenuhnya dalam tempoh kurang daripada sebulan berbanding sehingga 18 bulan sebelum ini.

Hari ini, aset di bawah pengurusan AHB telah mencecah RM5.0 bilion, terdiri daripada 22 hartanah selain memanfaatkan lebih 82,000 pemegang unit bumiputera di seluruh negara, ia juga disokong oleh pendapatan sewa yang stabil daripada aset komersial yang disewa sepenuhnya.

 

Prospek

Memandang ke hadapan, beliau berkata PHB sedang meneroka peluang jangka panjang untuk melabur dalam hartanah di luar negara sambil terus mengutamakan aset domestik dan sedang mempercepatkan strategi pendigitalannya melalui platform dalam talian serta aplikasi mudah alih yang sedang dirancang.

Beliau berkata PHB juga mungkin mempertimbangkan tawaran unit amanah tambahan pada masa hadapan, walaupun fokus jangka sederhananya kekal pada pengukuhan AHB, dengan hartanah terus menjadi kelas aset teras.

“Tumpuan kami adalah untuk mengekalkan disiplin, relevan dan mudah diakses dalam persekitaran yang mengutamakan digital, sambil meneruskan mandat kami bagi mengukuhkan penyertaan bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial termasuk menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan