IPOH, 22 Dis (Bernama) -- Pengamal media Perak bakal memperoleh insentif sekali beri sebanyak RM500 sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mereka dalam menyebar luas inisiatif dan dasar-dasar kerajaan negeri kepada rakyat di negeri berkenaan.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata media bukanlah entiti yang berada di luar sistem sebaliknya, media sebahagian daripada ekosistem yang membantu memperkukuh pentadbiran agar menjadi lebih matang dan berkesan.
“Banyak inisiatif kerajaan negeri menyentuh denyut nadi kehidupan seharian rakyat. Jika ia tidak disampaikan dengan bahasa yang jelas dan dekat dengan realiti masyarakat, segala usaha yang dicurahkan itu mungkin tidak dapat difahami dan dihayati.
“Pihak wartawan kami perlu hargai tak banyak, setakat mana yang mampu kami bagi sebagai tanda penghargaan,” katanya ketika berucap pada Malam Media Perak Sejahtera Tahun 2025 di sini malam ini.
Beliau berkata pihak media banyak memainkan peranan dalam perjalanan kerajaan negeri menjayakan agenda Perak Sejahtera 2030.
“Saban hari, ada sahaja kisah-kisah kejayaan pelan ini menghiasi dada-dada akhbar atau dipancarkan di saluran televisyen. Semuanya memberi motivasi untuk kita sama-sama mencipta lebih banyak kejayaan.
“Hakikatnya, banyak perkara yang kami lakukan tidak akan sampai ke pengetahuan rakyat tanpa kerja keras para wartawan, jurugambar, editor, penulis portal, penyiar dan seluruh ekosistem media yang bekerja siang malam, kadangkala tanpa cuti dan dalam tekanan masa yang sangat hebat. Malah ada yang terpaksa bergelumang dengan bencana berhari-hari lamanya,” katanya.
Pada malam ini, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkul lapan anugerah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial