ISKANDAR PUTERI, 22 Dis (Bernama) -- Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), usaha sama di antara MMC Group dan APM Terminals yang berpangkalan di Belanda melaksanakan inisiatif elektrifikasi keseluruhan kumpulan lori di pelabuhan itu bermula tahun depan.
PTP menerusi satu kenyataan hari ini berkata inisiatif berkenaan merupakan langkah ketara pihaknya dalam memacu agenda kelestarian serta perubahan digital yang diusahakan melalui perjanjian bersama Terberg Tractors Malaysia (TTM).
Katanya, inisiatif ini bagi membolehkan PTP membeli penggerak utama (prime mover) elektrik (e-PM) atau lori pelabuhan daripada TTM untuk kegunaan pergerakan di dalam terminal pelabuhan tersebut.
Jelasnya, kumpulan pengangkutan e-PM ini terdiri daripada 52 unit yang merupakan sebahagian daripada tempahan keseluruhan yang dibuat berjumlah 94 unit manakala unit selebihnya dikuasakan dengan menggunakan bahan api konvensional.
Sementara itu, Pengerusi PTP Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata inisiatif itu bukan sahaja mencerminkan usaha pihaknya dalam meningkatkan keupayaan operasi malah ia bersempena sambutan Ulang Tahun ke-25 pengendali pelabuhan berkenaan.
“Agenda penyahkarbonan PTP berjalan sekian lama berdasarkan kesedaran iaitu amat penting bagi menjamin masa depan yang lestari untuk pelabuhan serta industri maritim yang lebih luas.
"Pelan hala tuju kami iaitu menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 adalah berdasarkan titik rujukan 2021,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP Mark Hardiman berkata perolehan tersebut merupakan sebahagian daripada pelan pertumbuhan utama PTP yang menumpukan kepada usaha mengoptimumkan kapasiti sedia ada sekali gus memastikan kesediaan jentera sejajar dengan trajektori pertumbuhan.
Menurutnya ia menyokong matlamat PTP untuk meningkatkan jumlah kapasiti pengendalian terminal kepada kira-kira 16 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dalam tempoh dua tahun setengah pada masa akan datang.
Katanya, hasil Bukti Konsep (PoC) menunjukkan sebuah e-PM mampu menghasilkan 4,000 kilogram setara karbon dioksida (kgCO₂eq) sebulan berbanding 7,600 kgCO₂eq bagi unit konvensional sekali gus mencapai pengurangan pelepasan karbon sebanyak 48 peratus, di samping pengurangan kos operasi bulanan sebanyak 57 peratus bagi setiap unit.
Selain daripada kumpulan pengangkutan baharu e-PM, jelasnya, PTP juga membeli lima buah forklift kecil elektrik (e-SF) dan mengujinya dalam keadaan operasi sebenar.
“Kami turut mengambil bahagian dalam kerjasama antarabangsa termasuk inisiatif GreenVoyage2050 oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Kerjasama Australia bagi Infrastruktur (P4I) serta memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pelabuhan Melbourne mengenai operasi pelabuhan yang mampan.
"PTP komited sepenuhnya terhadap usaha penyahkarbonan maritim dan pertumbuhan pelabuhan yang bertanggungjawab," katanya.
Majlis menandatangani perjanjian perolehan tersebut menyaksikan Hardiman dan Ketua Pegawai Eksekutif TTM Boo Wei Ching menandatangani dan bertukar dokumen perjanjian di PTP di sini.
Lori pelabuhan berkenaan akan dihantar pada 2026 sebagai sebahagian daripada perjanjian dan TTM juga menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan bagi tempoh 24 bulan.
Boo berkata PTP bakal menjadi pelabuhan pertama di Malaysia yang memperkenalkan e-PM daripada TTM dan berharap agar dapat mencapai tahap prestasi dan inovasi yang lebih tinggi melalui kerjasama dengan PTP.
PTP diiktiraf oleh Alphaliner sebagai pelabuhan dengan pertumbuhan terpantas di dunia pada kadar +15.4 peratus tahun ini selain merupakan hab utama Asia di bawah Kerjasama Gemini (Gemini Cooperation).
Pelabuhan itu turut mencapai operasi luar biasa sepanjang tahun ini terutamanya apabila berjaya melepasi tanda aras 13 juta TEU buat pertama kali dalam sejarah pada 6 Disember lepas, sekali gus menjadikan PTP sebagai terminal tunggal pertama di Malaysia yang mencapai rekod tahunan tersebut.
PTP mengendalikan purata sekitar 1.2 juta TEU sebulan tanpa sebarang kesesakan serta mencapai lebih 15,000 kendalian dalam satu syif 12 jam.
Pencapaian ini membuktikan keupayaan luar biasa dan kecemerlangan operasi terminal tersebut yang mencerminkan ketepatan, disiplin dan penyelarasan yang memacu kejayaan berterusan PTP sebagai hab pemunggahan kargo tersibuk di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial