PUTRAJAYA, 26 Dis (Bernama) -- Prestasi kukuh komoditi kelapa sawit terus menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan sektor pertanian negara apabila mencatatkan kenaikan 3.1 peratus pada 2024 berbanding 0.2 peratus pada tahun sebelumnya, menurut Indikator Pertanian Terpilih 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kelapa sawit merekodkan pertumbuhan 5.1 peratus pada 2024 berbanding 0.2 peratus pada 2023, sekali gus menyumbang secara ketara kepada nilai ditambah sektor pertanian.
"Kelapa sawit kekal sebagai penyumbang utama kepada nilai ditambah sektor pertanian dengan sumbangan RM38.1 billion atau 36.8 peratus, diikuti oleh pertanian lain sebanyak RM29.7 bilion atau 28.7 peratus, manakala subsektor ternakan mencatatkan sumbangan RM17.4 bilion atau 16.9 peratus," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas prestasi pengeluaran pertanian, Mohd Uzir berkata pengeluaran buah tandan segar (kelapa sawit) mencatatkan jumlah tertinggi dalam kalangan komoditi pertanian iaitu 100,163.5 tan metrik, meningkat 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"Peningkatan pengeluaran tertinggi direkodkan oleh biji koko iaitu 33.3 peratus, diikuti sayur-sayuran terpilih (11.8 peratus), kenaf (batang kering) (11.5 peratus), getah asli (11.1 peratus), lada (7.5 peratus) dan buah-buahan terpilih (4.5 peratus)," katanya.
Bagi subsektor ternakan, Mohd Uzir berkata bilangan ayam meningkat 3.5 peratus kepada 327.3 juta ekor pada 2024 berbanding 316.2 juta ekor pada 2023, manakala pengeluaran daging ayam turut naik 13.7 peratus, diikuti daging lembu dan kerbau pada 9.6 peratus serta susu segar pada 5.7 peratus.
Beliau berkata pengeluaran akuakultur air payau dan masin pada 2024 pula menurun 0.4 peratus kepada 392,400 tan metrik berbanding tahun sebelumnya, manakala pendaratan ikan laut dan pengeluaran akuakultur air tawar masing-masing meningkat 9.6 peratus dan 5.7 peratus.
Dari perspektif serantau, Mohd Uzir berkata sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dalam kalangan negara ASEAN berada dalam julat 0.03 hingga 20.8 peratus.
"Myanmar merekodkan sumbangan tertinggi iaitu 20.8 peratus, diikuti Laos (16.8 peratus), Kemboja (16.6 peratus), Indonesia (12.6 peratus) dan Vietnam (11.9 peratus).
“Malaysia dengan sumbangan 8.2 peratus berada di kedudukan kelapan daripada 10 negara ASEAN," katanya.
Mohd Uzir berkata sektor pertanian memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi, di samping menyumbang secara ketara kepada pendapatan negara dan perolehan eksport.
"Jumlah eksport agromakanan dan hasil pertanian terpilih meningkat daripada RM160.7 bilion pada 2023 kepada RM179.2 bilion pada 2024.
“Pada masa yang sama, jumlah import pula meningkat kepada RM154.4 bilion pada 2024 berbanding RM135.4 bilion pada 2023, dengan import makanan negara berjumlah RM93.8 bilion pada 2024," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial