KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Sektor perbankan dijangka teguh pada 2026 selepas dipacu oleh pertumbuhan kredit yang mampan; pengembangan margin faedah bersih; pendapatan bukan faedah yang berdaya tahan (NOII) dan kod penjelasan nasional (NCC) yang stabil, kata AmInvestment Bank Bhd.
AmInvestment Bank melalui satu nota penyelidikan hari ini memberitahu ini membolehkan keuntungan sektor diunjurkan berkembang 4.9 peratus pada 2026 berbanding 0.9 peratus yang dicatatkan semasa 2025, manakala pulangan atas ekuiti (ROE) akan bertahan dengan baik pada 9.5 peratus.
“Antara peristiwa penting yang perlu diberi perhatian pada 2026 termasuk sebarang kesan tertunda daripada dasar tarif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, walaupun ekonomi global setakat ini mencerminkan daya tahan; trajektori Kadar Dasar Semalaman (OPR) domestik dan kadar Rizab Persekutuan AS (Fed); prestasi ringgit berbanding dolar US; suasana politik menjelang pilihan raya umum ke-16 selain landskap deposit serta pinjaman," katanya.
Kes asas 2026 bank itu adalah untuk ekonomi Malaysia bergerak stabil bersama-sama dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus; OPR dikekalkan pada 2.75 peratus; dan persaingan antara bank yang lebih lembut.
Katanya, selepas setahun menyaksikan pertumbuhan yang agak perlahan di tengah-tengah ketidaktentuan perdagangan global yang berpunca daripada dasar Trump, ekonomi Malaysia dijangka bergerak lebih baik pada 2026.
"Pasukan ekonomi kami meramalkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.5 peratus tahun ini, disokong oleh penggunaan swasta yang berdaya tahan daripada keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, di samping pertumbuhan gaji, bantuan tunai kerajaan yang mampan dan kenaikan gaji kakitangan awam.
"Selain itu, pelaksanaan projek pelaburan besar yang diluluskan dari 2024-2025 dan peningkatan keyakinan perniagaan adalah pemacu yang akan melonjakkan ekonomi tempatan.
“Satu lagi pemangkin ialah Tahun Melawat Malaysia 2026, yang mana pelancongan (menyumbangkan sebanyak 15 peratus daripada KDNK) dan kesan penggandanya dijangka mempercepatkan momentum sektor perkhidmatan,” katanya.
Oleh itu, AmInvestment Bank menjangka permintaan kredit akan berterusan merentasi segmen isi rumah serta perniagaan, meningkatkan prospek bagi hasil sektor perbankan.
"Kami meramalkan pertumbuhan pinjaman sektor berada pada 5.5 peratus untuk 2026; ini diterjemahkan kepada nisbah pertumbuhan pinjaman kepada KDNK sebanyak 1.2 kali ganda iaitu dalam jajaran 10 tahun sejarah sebanyak 0.4 hingga 2.1 kali.
"Kami juga menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan dasar monetari akomodatifnya dan mengekalkan pertumbuhan OPR pada 2.75 peratus," katanya lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial