PUTRAJAYA, 7 Jan (Bernama) -- Bioeconomy Corporation menyasarkan untuk menjana perolehan sekurang-kurangnya RM2.2 bilion daripada syarikat di bawah program Status BioNexus dan Pemecut Berasaskan Bio (BBA) pada 2026, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak.
Beliau berkata sasaran itu selaras dengan keutamaan Kerajaan MADANI, justeru itu syarikat akan meneroka penerapan penyelesaian digital dan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu meningkatkan skala dan mempercepat pertumbuhan syarikat dengan lebih cekap.
“Penumpuan AI merentas sektor pertanian, penjagaan kesihatan dan bioekonomi industri akan memperkukuh keselamatan makanan, memacu inovasi penjagaan kesihatan, menyokong ekonomi kitaran serta membuka peluang ekonomi baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya sejak 2005, Bioeconomy Corporation telah membantu mengembangkan syarikat tempatan ke peringkat global melalui sokongan menyeluruh merangkumi promosi pelaburan, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bakat, akses pasaran serta sokongan pembiayaan, sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030.
Beliau berkata sepanjang lima tahun lepas, lebih 560 pemain industri telah dilatih bagi memperkukuh pematuhan peraturan dan cukai, pengurusan bakat serta akses pembiayaan manakala pencapaian lain termasuk melahirkan syarikat bioteknologi unicorn pertama Malaysia pada 2024.
Selain itu adalah kejayaan 18 syarikat Status BioNexus tersenarai di pasaran tempatan dan antarabangsa, termasuk Bursa Saham New York, Bursa Saham London dan Bursa Sekuriti Australia.
Sementara itu, Bioeconomy Corporation telah menyumbang sebanyak RM39.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sepanjang tempoh 20 tahun sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pemacu utama industri bioteknologi dan berasaskan bio negara.
Beroperasi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Bioeconomy Corporation telah memudah cara lebih RM14.6 bilion pelaburan yang diluluskan, menjana lebih 16,600 peluang pekerjaan di seluruh negara serta menyokong hampir 650 syarikat Status BioNexus dan BBA.
Menteri berkenaan Chang Lih Kang dalam kenyataan sama berkata pencapaian 20 tahun Bioeconomy Corporation mencerminkan keyakinan berterusan kerajaan terhadap agensi itu untuk menerajui bioekonomi Malaysia ke arah daya saing global, khususnya menerusi Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0).
Pada 2025, anggaran nilai pelaburan dan komersial yang direkodkan di bawah seliaan Bioeconomy Corporation meningkat daripada RM1.55 bilion pada 2024 kepada lebih RM2.44 bilion, mewakili pertumbuhan hampir 60 peratus, katanya.
Menurutnya dengan sokongan MOSTI, Bioeconomy Corporation terus memacu kemajuan di bawah DBN 2.0 dengan aspirasi untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara bioinovasi berteknologi tinggi menjelang 2030.
“Kami yakin nilai yang lebih besar akan dicapai pada masa depan, terutama apabila organisasi ini memfokuskan strategi lima tahun akan datang kepada enam subsektor bernilai tinggi dan berpotensi kepada pertumbuhan pesat iaitu protein generasi baharu, pembiakan regeneratif, bahan lestari, bahan kimia berasaskan-bio, perubatan regeneratif dan diagnostik ketepatan,” katanya.
Beliau berkata hala tuju strategik ini menyokong Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030) melalui sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi biru, hijau dan perak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial