EKONOMI > BERITA

CIMB IB JANGKA KDNK SUKU KEEMPAT MALAYSIA TUMBUH 5.3 PERATUS, SETAHUN PENUH PADA 4.8 PERATUS

13/01/2026 09:12 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Prestasi pengeluaran dan pembuatan minyak sawit mentah yang kukuh berkemungkinan mendorong pertumbuhan suku keempat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 kepada 5.3 peratus dari tahun ke tahun, membayangkan pertumbuhan setahun penuh sebanyak 4.8 peratus, kata CIMB Investment Bank Bhd.

Bank itu menjelaskan peningkatan dalam pengeluaran minyak sawit berkemungkinan melonjakkan pertumbuhan sebanyak 0.4 mata peratusan.

Data bulanan mencerminkan bahawa pengeluaran minyak sawit mentah menokok semasa suku keempat 2025, naik berbanding 13.7 peratus dari tahun ke tahun pada Oktober kepada 23.1 peratus dari tahun ke tahun menjelang Disember, disebabkan oleh hasil tandan buah segar yang lebih tinggi selain asas yang agak rendah pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.

“Tuaian minyak sawit yang kukuh menimbulkan kejutan menaik kepada unjuran pertumbuhan kami (kemungkinan peningkatan sebanyak 0.4 mata peratusan kepada KDNK suku keempat 2025) selepas ia didapati tidak sejajar dengan corak musim tahunan, yang biasanya menyaksikan pengeluaran menurun ke paras yang lebih rendah dalam dua bulan terakhir tahun berkenaan.

“Melihat ke hadapan tahun 2026, pengeluaran MSM berkemungkinan jatuh lebih rendah pada suku pertama, ini sejajar dengan aliran bermusim, dengan sedikit kenaikan dijangka pada suku keempat 2026,” katanya.

Sama juga, CIMB IB meramalkan bahawa pertumbuhan sektor pembuatan melonjak sebanyak 5.8 peratus dari tahun ke tahun pada suku keempat 2025 (suku ketiga 2025 : 4.1 peratus), mencerminkan data pengeluaran industri bulanan yang agak mantap.

"Pengeluaran perindustrian berkembang sebanyak 6.0 peratus dari tahun ke tahun pada Oktober 2025 sebelum menyederhana kepada 4.3 peratus dari tahun ke tahun menjelang November, berikutan pertumbuhan pengeluaran pembuatan dan perlombongan yang perlahan. Indeks pengeluaran perindustrian pembuatan pada suku keempat telah dipacu oleh pertumbuhan dalam industri berorientasikan eksport (Oktober: 7.2 peratus; November 5.0 peratus dari tahun ke tahun), manakala pertumbuhan industri berorientasikan dalam negeri kekal stabil," katanya.

Dalam kalangan industri berorientasikan eksport, pertumbuhannya banyak diterajui oleh komputer, elektronik dan produk optik (November: 10.7 peratus dari tahun ke tahun, Oktober: 14.2 peratus), diikuti oleh peralatan elektrik (November: 13.9 peratus dari tahun ke tahun, Oktober: 9.3 peratus), sejajar dengan naratif pertumbuhan eksport elektrik dan elektronik (E&E).

"Bagaimanapun, kami terus menjangkakan sedikit kelembapan dalam industri berorientasikan eksport, terutamanya dalam kalangan pengeluar bukan E&E selepas tarif Amerika Syarikat yang lebih tinggi dan ringgit yang lebih kukuh telah menjejaskan permintaan pada 2026,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan