EKONOMI > BERITA

KENYA PERTINGKAT HUBUNGAN EKONOMI DENGAN MALAYSIA DALAM SEKTOR HALAL, MINYAK SAWIT, PEMPROSESAN AGRO

04/01/2026 03:35 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Negara Afrika Timur, Kenya, bersedia untuk meningkatkan hubungan ekonomi dengan Malaysia melalui perkongsian strategik dalam industri halal, minyak sawit dan pemprosesan agro, semikonduktor serta sektor tenaga boleh baharu (TBB) yang dijangka merangsang perdagangan, pelaburan dan akses pasaran serantau.

Pesuruhjaya Tinggi Kenya ke Malaysia Ekitela Moru berkata Malaysia dan Kenya sedang merundingkan memorandum persefahaman (MoU) untuk mengembangkan industri halal di Kenya, dengan kedua-dua pihak berharap dapat memeterai perjanjian menjelang awal tahun ini.

Menurutnya MoU yang dicadangkan itu bertujuan memanfaatkan pengalaman Malaysia dalam industri dan pensijilan halal serta membangunkan kapasiti Kenya untuk mengeksport produk halal, bukan sahaja ke Malaysia malah ke rantau ASEAN dan berpotensi menjadi pasaran global yang menguntungkan.

“Malaysia adalah peneraju global dalam pensijilan halal dan industri halal, dengan rangkaian pengedaran serantau merentasi ASEAN (dan) Kenya boleh menggunakan faktor ini untuk memperluas eksport makanan diprosesnya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Moru berkata pengembangan perdagangan antara Kenya dan Malaysia berteraskan kerjasama ekonomi dan kekuatan yang saling melengkapi, yang menjadi semakin penting susulan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara Afrika itu pada November lepas.

Semasa lawatan Anwar, kedua-dua negara telah memeterai perjanjian mengenai perkhidmatan udara, pelancongan, perancangan bandar serta pelaburan dalam infrastruktur dan teknologi.

Lawatan Anwar, yang merupakan lawatan pertama oleh Perdana Menteri Malaysia dalam tempoh 60 tahun menandakan hubungan diplomatik selama 60 tahun, telah menyuntik momentum baharu dalam kerjasama Kenya-Malaysia ketika Nairobi berusaha menjadi hab serantau bagi inovasi, pembuatan, pelancongan dan transformasi pertanian.

Kenya yang mempunyai penduduk kira-kira 58 juta, mempunyai sistem berasaskan pasaran yang pelbagai yang berperanan sebagai hab kewangan dan pengangkutan serantau, dipacu oleh sektor perkhidmatan, pertanian termasuk teh dan hortikultur serta pelaburan yang kukuh.

Melalui matlamat di bawah 'Wawasan 2030,' Kenya menyasarkan untuk mencapai status negara berpendapatan sederhana tinggi melalui sektor seperti teknologi digital, perumahan dan penjagaan kesihatan.

Mengenai kerjasama dalam minyak sawit, Moru berkata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bercadang untuk memindahkan pejabat serantau minyak sawit bagi Afrika Sub-Sahara dari Afrika Selatan ke Nairobi, Kenya pada suku pertama 2026, yang dijangka mewujudkan lebih banyak pekerjaan di negara itu.

“Kenya berhasrat menggalakkan Malaysia membawa masuk minyak sawit mentah, yang kemudiannya ditapis di Kenya untuk dieksport semula sebagai produk hiliran.

“Langkah berkenaan bukan sahaja akan mewujudkan pekerjaan malah menjana hasil sampingan seperti sabun memandangkan 90 peratus daripada import kami dari Malaysia adalah minyak sawit,” katanya.

Selain itu, Kenya sedang berusaha untuk membangunkan rantaian nilai minyak sawit yang mampan dengan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran Malaysia dalam sektor ini.

Sehubungan itu, negara Afrika berkenaan menggalakkan syarikat Malaysia untuk melabur di Kenya, terutama dalam penanaman sawit untuk produk yang boleh dimakan dan produk berasaskan sawit lain.

Kenya juga telah mengenal pasti beberapa sektor yang akan meraih manfaat daripada langkah Anwar untuk memberikan layanan istimewa kepada perniagaan Kenya berasaskan persahabatan dan potensi perdagangan yang kukuh, yang menyaksikan pertanian dan pemprosesan agro adalah bidang utama yang dijangka memanfaatkan kepakaran Malaysia dan sumber asli dan tenaga kerja Kenya.

Mengenai industri pembuatan dan berteknologi tinggi antaranya elektronik dan semikonduktor, Moru berkata pengalaman Malaysia dapat membantu memesatkan perindustrian Kenya termasuk sektor TBB.

Katanya kerjasama dua hala itu boleh memanfaatkan sumber asli Kenya dan kepakaran teknikal Malaysia.

Beliau turut berpendapat terdapat peluang pertumbuhan dalam ekonomi digital dan sektor teknologi kewangan dengan menggabungkan penyelesaian mudah alih inovatif Kenya dengan infrastruktur digital termaju Malaysia.

“Kerjasama Kenya-Malaysia dalam pembuatan semikonduktor bukanlah mengenai pemindahan teknologi, sebaliknya berkenaan membina keupayaan perindustrian bagi Kenya untuk mempercepat pembangunan kemahiran dan penglibatan dalam pembuatan berteknologi tinggi.

“Bagi Malaysia, ini adalah peluang untuk mengembangkan pasaran, mempelbagai dan mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan.

“Secara keseluruhan, ini mencerminkan model berpandangan ke hadapan berdasarkan kerjasama Selatan-Selatan, yang boleh menjana pertumbuhan mampan, inovasi dan kemakmuran bersama untuk kedua-dua negara," katanya.

Pada 2024, Kenya menjadi rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika, dengan nilai perdagangan mencecah RM5.7 bilion, meningkat 1.2 peratus daripada RM5.51 bilion pada tahun sebelumnya.

Pada masa hadapan, beliau berkata Kenya berharap hubungan perdagangan itu akan meneruskan momentum positifnya, dipacu oleh akses pasaran yang dipertingkatkan, kemudahan perdagangan serta kerjasama sektor dalam pertanian, pembuatan, infrastruktur, teknologi maklumat dan pelancongan.

“Melalui penglibatan yang diperkukuh di peringkat kerajaan dan sektor swasta serta pemuktamadan dan pemeteraian MoU dan perjanjian perdagangan, kami menjangka libat urus antara rakyat dan perdagangan dua hala akan terus berkembang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan