Oleh Nor Baizura Basri dan Mohd Iswandi Kasan Anuar
PUTRAJAYA, 17 Jan (Bernama) -- Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan yang disalurkan sejak 9 Januari lepas menyaksikan hampir satu pertiga daripada kira-kira RM624.97 juta dibelanjakan sehingga 13 Jan.
Hal ini sekali gus memperlihatkan keberkesanaan program berkenaan dalam membantu rakyat yang berpendapatan rendah dalam menangani kos sara hidup.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican berkata sejak SARA diperkenalkan, Kerajaan MADANI membuat pelbagai langkah penambahbaikan dengan mengambil kira segala cadangan daripada pelbagai pihak.
Ini termasuk memperluaskan jenis produk yang boleh dibeli serta pertambahan premis bagi memudahkan penerima SARA.
Jelas beliau, kerajaan juga mengambil pendekatan terbuka secara berterusan dan sentiasa menerima cadangan daripada penerima terutamanya dalam menambah baik program bantuan itu.
"Setakat ini, daripada segi maklum balas yang kita dapat daripada kedai yang mengambil bahagian juga amat positif, mereka melihat apabila kredit SARA masuk saja dalam kad pengenalan, mereka semua menikmati peningkatan dalam jualan.
"Berdasarkan data yang baru saya terima, bantuan yang disalurkan sejak 9 Jan lepas, sudah hampir satu pertiga sudah habis dibelanjakan, saya rasa ia (menunjukkan) SARA (merupakan) satu mekanisme yang berkesan untuk menyalurkan bantuan kepada isi rumah," kata beliau kepada Bernama dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.
Menurut data Kementerian Kewangan (MOF), Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah mencatatkan peratusan tertinggi perbelanjaan SARA dengan masing-masing 36 peratus manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terendah dengan 21 peratus setakat 13 Jan lepas, lima hari selepas SARA mula disalurkan.
Data tersebut juga menunjukkan penerima SARA berbelanja kira-kira RM172.49 juta melibatkan penerima dari 14 negeri serta Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.
Selain penerima bantuan, Johan berkata penyaluran SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga memberi kesan limpahan serta peluang kepada peniaga dan premis yang terlibat untuk bersaing secara sihat dengan menampilkan penawaran harga yang lebih rendah.
Katanya, ini sekali gus memberikan penerima lebih banyak pilihan untuk berbelanja.
"Apabila kita melibatkan kedai-kedai runcit, pasar raya dan sebagainya, apa yang dilihat, mereka pun bersaing untuk menarik penerima SARA untuk berbelanja di kedai masing-masing.
"Pada masa yang sama, kita juga memastikan barangan yang boleh dibeli melalui kredit SARA juga meliputi barangan daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan," kata Johan.
Selain itu, beliau berkata MOF turut mempertingkatkan libat urus serta semak silang data bersama agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Katanya, MOF turut melaksanakan turun padang ke kawasan luar bandar bagi memastikan tiada keciciran bagi penerima yang layak menerima bantuan SARA dan STR.
Terdahulu, MOF pada 5 Jan lepas memaklumkan lokasi penebusan SARA kini diperluas kepada lebih banyak kedai kecil dan kedai tunggal yang dekat dengan komuniti setempat berbanding hanya pasar raya dan rantaian peruncitan besar.
Tambah kementerian itu, kerajaan menyasarkan kedai kecil yang terlibat dalam program SARA akan ditingkatkan kepada 10,000 menjelang akhir 2026 bagi melengkapi cawangan pasar raya sedia ada berbanding lebih 3,000 kedai kecil daripada 9,200 premis berdaftar setakat 23 November lepas.
Pada tahun ini, penyaluran SARA secara bulanan turut menyaksikan peningkatan ketara jumlah penerima tahun ini melibatkan 8.1 juta orang membabitkan peruntukan sebanyak RM8 bilion berbanding 5.4 juta penerima melibatkan peruntukan RM5 bilion pada 2025.
Penyaluran SARA Bulanan 2026 yang bermula 9 Jan lepas akan memanfaatkan lima juta penerima yang terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan diikuti pembayaran kepada 3.1 juta individu bujang pada 16 Jan, 2026.
Selain itu, penyaluran STR Fasa 1 2026 akan bermula pada 20 Jan ini, membabitkan peruntukan RM1.1 bilion untuk 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan iaitu penerima akan menerima antara RM100 dan RM500 mengikut kelayakan masing-masing.
Bagi mengurangkan risiko keciciran, permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial