EKONOMI > BERITA

MALAYSIA PERLU STRATEGI TRANSFORMATIF KUKUH PENYERTAAN, SUMBANGAN PERUSAHAAN BUMIPUTERA

20/01/2026 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Malaysia memerlukan strategi yang transformatif bagi memperkukuhkan penyertaan dan sumbangan perusahaan bumiputera kepada pertumbuhan ekonomi negara. 

Ahli Parlimen Simpang Renggam Datuk Seri Hasni Mohammad berkata sumbangan perusahaan Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara masih rendah, iaitu sekitar 8.1 peratus pada 2020, sedangkan sasaran negara menjelang 2035 ialah 15 peratus.

Tambahnya, antara strategi transformatif tersebut adalah meneroka penubuhan Dana Ekuiti Bumiputera di peringkat negeri dan nasional, serta memperluas pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor-sektor masa depan seperti digital, teknologi hijau dan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Pada masa yang sama, generasi muda Bumiputera mesti dipersiapkan bukan sekadar untuk bekerja dalam sektor berimpak tinggi, tetapi untuk memimpin, memiliki dan membina, kata beliau.

"Ini menuntut pendekatan baharu dalam pembangunan bakat, termasuk insentif berbentuk biasiswa endowmen antara generasi, serta rangkaian mentor berasaskan komuniti dan industri bagi mempercepatkan pemindahan ilmu, pengalaman dan peluang," katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Hasni berkata sebahagian besar pekerja Bumiputera masih tertumpu dalam sektor bukan formal, menjadikan mereka golongan paling terdedah apabila ekonomi berdepan kejutan, memandangkan perlindungan sosial yang terhad boleh menyebabkan kejutan kecil sahaja mencukupi untuk menjerumuskan sesebuah keluarga kembali ke kancah kemiskinan.

“Di sinilah dasar mesti bergerak melangkaui bantuan sementara kepada pembangunan daya tahan pendapatan isi rumah,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan