EKONOMI > BERITA

PKFZ RAIH PENINGKATAN HASIL KESELURUHAN LAPAN PERATUS SETAKAT OKTOBER LEPAS

29/11/2025 12:04 AM

KLANG, 28 Nov (Bernama) -- Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) mencatat peningkatan hasil keseluruhan sebanyak lapan peratus setakat Oktober lepas berbanding pada 2024 sekali gus menunjukkan aktiviti perniagaan lebih rancak dan prestasi operasi yang kukuh, kata Pengerusinya Lim Lip Eng.

Kejayaan itu adalah antara pencapaian utama PKFZ setakat November 2025 yang mencerminkan pemulihan operasi dan keyakinan pasaran yang semakin meningkat.

Beliau berkata pencapaian lain melibatkan segmen unit industri ringan yang merekodkan peningkatan hasil 17 peratus, disokong pelarasan struktur kadar sewaan yang lebih kompetitif.

“Ia mengukuhkan daya tahan portfolio serta meningkatkan daya tarikan PKFZ kepada perusahaan kecil dan sederhana dan pelabur baharu,” katanya pada Majlis Makan Malam Gala dan Malam Anugerah PKFZ serta sambutan ulang tahun PKFZ ke-20 di sini malam ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang Ean Yong Hian Wah dan Ketua Pegawai Eksekutif PKFZ Priscilla Lim.

Lim  berkata, selain itu, melalui pengurusan kewangan berdisiplin dan kawalan proses yang teliti, langkah ini berjaya mengurangkan kos operasi sebanyak 13 peratus tidak termasuk perbelanjaan projek khas. 

“PKFZ kekal komited meningkatkan infrastruktur lama melalui peruntukan pembangunan khusus,” katanya.

Menurutnya, menerusi tadbir urus yang telus, penilaian ketat dan pemilihan vendor yang berhemah pula, PKFZ mencapai penjimatan 17 peratus dalam kos tender tanpa menjejaskan kualiti kerja. 

Beliau berkata, dengan pengaktifan zon komersial PKFZ yang kurang dimanfaatkan selama hampir dua dekad, ia kini mencatat peningkatan hasil 19 kali ganda sejak dimanfaatkan pada suku keempat 2025. 

Katanya penyewaan zon komersial dijangka mencapai 70 peratus pada 2026, dengan pemacu utama antaranya tempat letak kereta bertingkat dan dewan pameran untuk penyimpanan automotif serta inisiatif penstrukturan semula Hotel PKFZ sebagai hab pejabat serantau untuk penyewa utama.

Menurut Lim, pada tahun ini, PKFZ berdiri lebih kukuh berbanding sebelumnya sekali gus membuktikan komitmen PKFZ terhadap kecemerlangan operasi, tadbir urus berintegriti dan pertumbuhan strategik. 

“Menjelang masa depan, kami lebih tekad untuk membangunkan PKFZ sebagai hab logistik bertaraf dunia dan ekosistem zon bebas pintar yang memberikan nilai terbaik kepada Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Priscilla berkata PKFZ mencatat peningkatan hasil keseluruhan kira-kira RM100 juta sepanjang tahun lepas.

Sementara itu, majlis pertukaran dokumen antara PKFZ dan Q Centre Management Sdn Bhd turut diadakan dalam memperkasakan ekosistem tenaga kerja dan komuniti PKFZ dan Pulau Indah menerusi pembangunan dan pengubahsuaian Kuarters Pekerja Berpusat yang dijadualkan siap pada suku pertama  2026. 

Majlis pertukaran dokumen itu disempurnakan oleh Priscilla dan Pengarah Urusan Bersama Kumpulan Q Centre Datuk Joey Yan,  disaksikan oleh Lim dan Pengarah Urusan Bersama Kumpulan Q Centre Datuk Simon David Leong. 

“Dengan kapasiti sehingga 8,000 pekerja asing, ia bakal menjadi kemudahan asrama pekerja asing terbesar di Pulau Indah,” kata Priscilla.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan