EKONOMI > BERITA

SEKTOR ELEKTRIK DAN ELEKTRONIK ANTARA TUMPUAN PELABURAN UTAMA TAHUN INI - TENGKU ZAFRUL

22/01/2026 09:04 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) --Sektor elektrik dan elektronik (E&E) terutamanya semikonduktor, akan terus menjadi antara sektor utama untuk pelaburan berpotensi tahun ini, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian dalam merujuk kepada pelan pelaburan baharu itu dengan menyatakan bahawa MIDA telah lama menumpukan pada kepelbagaian industri.

“Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS), MIDA akan terus melihat bagaimana kita boleh membina ekosistem yang telah kita bina selama 60 tahun untuk E&E dan semikonduktor.

“Kedua, dalam bidang kimia dan petrokimia, aeroangkasa, terutamanya dalam bidang kemampanan, kita bercakap mengenai teknologi hijau dan pelaburan hijau, ia juga penting.

“Kita mahu terus menjadi hab logistik utama. Itulah sebabnya, sebagai negara perdagangan yang terbuka kepada perdagangan, Malaysia perlu mengukuhkan habnya sebagai hab logistik untuk rantau ini, jika tidak pun untuk peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas menghadiri siri penceramah Persatuan Alumni Felo Perdana bertajuk “Dari Bilik Lembaga Pengarah ke Pembinaan Negara: Pengajaran Kepimpinan daripada Perjalanan” (From Boardroom to Nation-building: Leadership Lesson from the Journey) di sini semalam.

Tengku Zafrul berkata apa yang paling penting ialah kesan limpahannya.

“Selain sumbangan kepada makroekonomi dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), inflasi dan jumlah pekerjaan, kita mahu memastikan bahawa apabila kuta memberi tumpuan kepada sektor-sektor ini, ia akan mewujudkan jenis pekerjaan yang betul.

“Anda dapat melihat bahawa ini adalah sektor-sektor di mana kerumitan ekonomi adalah tinggi. Justeru dengan jenis pekerjaan yang betul, kita boleh mendapat gaji yang lebih baik untuk graduan kita dan rakyat Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata matlamat keseluruhan ekosistem adalah untuk mengintegrasikan syarikat tempatan ke dalam rantaian nilai global.

Beliau berkata selain daripada memberi perkhidmatan kepada pelanggan atau syarikat di Malaysia, syarikat-syarikat ini juga harus menyokong syarikat multinasional, membolehkan mereka mengembangkan jangkauan mereka ke pasaran luar negara seperti India, China dan Amerika Syarikat.

“Akhir sekali, untuk Malaysia, kita ingin memastikan bahawa apabila anda melihat eksport negara, kita mahu membina industri yang akan memperkukuhkan kedudukan perdagangan kita di negara ini terutamanya apabila melibatkan eksport negara,” katanya.

Apabila ditanya mengenai sebarang projek atau memorandum persefahaman yang telah diformalkan, beliau berkata jumlahnya banyak tetapi menekankan bahawa pengumuman harus diserahkan kepada syarikat itu sendiri.

“Saya telah diberi taklimat bahawa perancangan itu kelihatan baik, kita baru bermula tahun ini dan terdapat banyak dari tahun lepas. Sehubungan itu, kita perlu menunggu pengumuman awam daripada syarikat-syarikat tersebut,” katanya.

Mengulas mengenai anggaran nilai pelaburan daripada pelbagai sektor, Tengku Zafrul berkata tiada sasaran ditetapkan lagi kerana pihak pengurusan MIDA masih memuktamadkan butirannya.

“Seperti biasa, kita akan melihat bagaimana ekonomi global bergerak. Bagi sektor tertentu, kita tidak boleh hanya melihat kepada angka sahaja tetapi kita perlu melihat limpahan yang betul juga,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan