EKONOMI > BERITA

IPO : GUAN HUAT SENG CATAT 24 SEN PADA SESI AWAL PENYENARAIAN DI PASARAN ACE

22/01/2026 11:29 AM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Pengeluar makanan yang berpangkalan di Melaka, Guan Huat Seng Holdings Bhd mencatat harga 24 sen sesaham pada kemunculan pertamanya di Pasaran ACE hari ini, rendah sedikit daripada harga tawaran awam permulaannya (IPO) pada 25 sen sesaham.

Pada loceng pembukaan, sejumlah 5.61 juta saham syarikat itu telah berpindah tangan.

Pengarah Urusannya Yeo Tien Ee berkata pergerakan harga saham itu dipengaruhi oleh pelbagai faktor luar yang juga di luar kawalan syarikat dan sama sekali tidak menjejaskan keyakinan syarikat terhadap strategi perniagaannya.

“Syarikat ini terus berada di landasan untuk melaksanakan disiplin pelan perniagaan serta penyampaian hasil operasi yang konsisten. Kami juga percaya dari semasa ke semasa, nilai perniagaan kami akan dapat dibuktikan sewajarnya dalam harga saham,” katanya pada sidang media secara maya selepas majlis penyenaraian itu di sini, hari ini.

Bagi prospek masa depan, syarikat itu kekal yakin dengan keupayaan merealisasikan pertumbuhan yang mampan, katanya.

“IPO ini akan memberi kami akses mengumpulkan modal bagi tujuan pengembangan dan pelaksanaan strategi syarikat seperti menambah baik fasiliti, rangkaian produk, pemasaran dan kehadiran runcit. Kami juga berhasrat untuk mengukuhkan perniagaan, meningkatkan kecekapan dan mewujudkan nilai jangka panjang untuk pemegang saham,” katanya.

Syarikat itu berjaya mengumpulkan sejumlah RM30 juta daripada IPO itu dengan RM12 juta atau 40 peratus dimanfaatkan untuk menampung sebahagian pembiayaan pembangunan kompleks bersepadu baharu di Batu Berendam, Melaka; RM9 juta untuk sebahagian pembiayaan penubuhan fasiliti baharu di Krubong; RM3 juta untuk modal kerja; RM1.50 juta bagi perbelanjaan pemasaran dan RM4.5 juta untuk kos penyenaraian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan