KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Syarikat penternakan Hock Soon Capital Bhd menyasarkan untuk mengumpul sejumlah RM60 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) bersempena penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd yang dijadualkan pada 13 Feb, 2026.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM53.5 juta atau 89.1 peratus akan dimanfaatkan bagi pembukaan ladang ternakan ayam baharu di Teluk Intan, Perak manakala baki RM6.5 juta (10.9 peratus) untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.
Bercakap pada sidang media selepas pelancaran prospektus syarikat itu di sini hari ini, Pengarah Eksekutif Alex Ong Keat Hoe berkata ladang ternakan baharu itu dijangka melipatgandakan pengeluaran telur oleh syarikat berkenaan, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran secara menyeluruh apabila siap kelak.
“Ladang ternakan baharu itu akan dibina secara berperingkat dalam tempoh lima tahun,” katanya.
Beliau berkata langkah itu juga dijangka dapat meningkatkan pengeluaran sebanyak kira-kira 1.5 juta biji telur sehari yang mampu mengukuhkan keupayaannya bagi memenuhi permintaan domestik.
Bagi kemajuan masa depan, Ong turut berkongsi rancangan syarikat itu untuk mengembangkan pasaran ke Singapura.
“Kami akan memulakan eksport itu selepas mendapat kelulusan Agensi Makanan Singapura iaitu berkemungkinan pada suku pertama tahun ini,” katanya.
Menerusi IPO itu, Hock Soon akan menerbitkan 100 juta saham baharu dan menawarkan penjualan sebanyak 50 juta saham sedia ada yang masing-masing mewakili 20 peratus dan 10 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan syarikat berkenaan.
Daripada 100 juta saham baharu itu, sejumlah 25 juta akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia melalui undi manakala 12.5 juta unit akan diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan serta individu yang layak dan menyumbang kepada kejayaan kumpulan menerusi peruntukan borang merah jambu.
Baki 62.5 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) manakala 50 juta saham ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Selepas penyenaraian itu, modal saham terbitan Hock Soon akan berjumlah 500 juta saham dengan modal pasaran sebanyak RM300 juta berdasarkan harga IPO sebanyak 60 sen sesaham.
Permohonan bagi IPO dibuka hari ini dan akan ditutup pada 5 petang, 30 Jan, 2026.
M & A Securities Sdn Bhd berperanan sebagai penasihat, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial