EKONOMI > BERITA

QL FOODS BANGUNKAN QL INNOFOOD PARK DENGAN PELABURAN RM1.3 BILION

25/01/2026 05:59 PM

BAGAN DATUK, 25 Jan (Bernama) -- Syarikat pengeluar produk makanan agro QL Foods Sdn Bhd (QL Foods) membangunkan taman industri makanan, QL Innofood Park di Hutan Melintang di sini dengan pelaburan strategik sebanyak RM1.3 bilion.

Pengerusi Eksekutif QL Resources Bhd Dr Chia Song Kun berkata projek berkenaan merupakan langkah pengembangan baharu QL Foods dalam pembuatan makanan serantau.

Katanya ia melangkaui portfolio produk berasaskan makanan laut kepada produk makanan berprotein daripada pelbagai sumber lain seperti soya, tepung, ayam dan lain-lain.

"Pengembangan ini sejajar dengan permintaan pasaran domestik dan luar negara yang meningkat," katanya sewaktu berucap pada majlis pecah tanah QL Innofood Park di sini hari ini.

Terdahulu, majlis itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Chia berkata taman industri itu akan dibangunkan secara berfasa dalam tempoh 10 tahun merangkumi 13 kilang pengeluaran dan infrastruktur sokongan termasuk utiliti, logistik gudang dan fasiliti pekerja.  

"Bagi peringkat awal pembangunan ini, kira-kira RM300 juta akan dilaburkan bagi membangunkan infrastruktur sokongan. 

"Seterusnya, sebanyak RM100 juta turut dilaburkan setiap tahun bagi tempoh 10 tahun untuk membina kilang pengeluaran,"katanya.

Beliau berkata setelah projek ini disiapkan sepenuhnya, ia dijangka meningkatkan kapasiti produk tahunan QL Foods kepada 180,000 tan.

Katanya penambahan kapasiti sebanyak 130,000 tan ini bersamaan kira-kira 2.5 kali ganda daripada kapasiti sedia ada iaitu 50,000 tan.

"Reka bentuk dan perancangan projek ini berteraskan konsep kelestarian serta inisiatif hijau yang merangkumi pemasangan solar fotovoltaik (PV), sistem penuaian air hujan, pusat pengasingan sisa pepejal dan dandang biojisim di samping penggunaan mesin tenaga efisien. Inisiatif ini menyokong peralihan ke arah jejak rendah karbon.

"Kilang-kilang ini direka bentuk untuk pemodenan, kesediaan Industri 4.0 dan kecekapan operasi merangkumi bilik sejuk berpusat ASRS dan gudang pintar bagi bahan pembungkusan serta pemantauan berasaskan data," katanya.

Di samping itu katanya setelah keseluruhan projek ini disiapkan sepenuhnya, ia dapat mewujudkan 3,000 peluang pekerjaan baharu untuk komuniti Perak.

Katanya pelaburan berimpak tinggi juga dijangka mempertingkatkan taraf sosioekonomi warga Perak, khususnya di daerah Bagan Datuk dan terus menyumbang kepada agenda negara dalam perindustrian dan keselamatan makanan. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan