Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Ringgit diniagakan pada 3.9540 berbanding dolar AS pada rehat tengah hari ini, mencatatkan paras tertinggi baharu sejak 15 Mei 2018 dan aliran meningkat itu dijangka berterusan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata berdasarkan analisis carta teknikal, paras sokongan baharu untuk mata wang tempatan adalah pada RM3.8722.
Keyakinan terhadap sistem ekonomi Malaysia yang sejajar dengan petunjuk ekonomi negara yang bertambah baik, telah meningkatkan nilai mata wang di tengah-tengah perbincangan mengenai kemungkinan campur tangan mata wang oleh Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.
“Bagaimanapun, kadar peningkatan nilai ringgit yang pesat boleh memberi impak terutamanya terhadap industri berorientasikan eksport,” katanya kepada Bernama hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengukuhan ringgit tidak menjejaskan aliran eksport dan import negara, malah kerajaan akan terus memperkukuh ekonomi dan menarik pelaburan asing.
“Apabila ringgit mengukuh ada kesan positifnya dan ada sedikit yang membimbangkan kerana ia terkait dengan eksport dan import barangan.
“Namun, pada keseluruhannya, jika kita lihat, tidak ada negara yang mahu nilai mata wang mereka itu merosot dan rendah luar daripada kekuatan yang sepatutnya dipertahankan,” kata beliau di Dewan Rakyat di sini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai faktor kenaikan nilai ringgit berbanding dolar AS serta kesannya terhadap eksport dan import negara.
Pada 8 pagi, ringgit diniagakan pada 3.9650/9750 berbanding dolar AS daripada 3.9615/9670 semasa ditutup semalam. Kali terakhir ringgit dilihat pada paras ini adalah pada Mei 2018.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial