EKONOMI > BERITA

JUMLAH PERDAGANGAN MALAYSIA DIUNJUR TUMBUH TIGA HINGGA LIMA PERATUS PADA 2026

27/01/2026 09:38 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Jumlah perdagangan Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan sederhana antara 3.0 hingga 5.0 peratus tahun ini meskipun berdepan cabaran luaran global, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin.

Beliau berkata kerajaan kekal optimis untuk mencapai sasaran berkenaan berdasarkan keadaan ekonomi semasa, namun mengakui risiko luaran masih wujud.

Sim juga mengingatkan bahawa kejadian luar jangka atau black swan, seperti kelembapan ekonomi negara utama atau krisis ekonomi dalam kalangan rakan dagang utama, boleh menjejaskan prestasi perdagangan negara.

“Tahun lepas, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menetapkan sasaran pertumbuhan antara tiga hingga lima peratus, namun prestasi sebenar melepasi jangkaan,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman prestasi perdagangan Malaysia bagi 2025, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Sim berkata Malaysia kini perlu bergerak naik dalam rantaian nilai bagi menjana pendapatan yang lebih tinggi dan berkualiti.

Beliau berkata sebahagian besar perdagangan Malaysia kini melibatkan aktiviti nilai tambah, dengan sektor elektrik dan elektronik (E&E) sebagai eksport terbesar negara, dengan barangan separa siap diimport, seterusnya diproses dengan melalui aktiviti pembungkusan sebelum dieksport semula.

Tambah beliau, ringgit yang lebih kukuh sebenarnya boleh memberi manfaat, memandangkan kos bahan import berkurangan, sementara eksport bernilai tambah Malaysia terus berkembang dengan baik.

Selain itu, beliau mengakui sesetengah produk tempatan mungkin berdepan cabaran, namun ia boleh ditangani dengan membantu peniaga tempatan meningkatkan kualiti produk serta menembusi pasaran bernilai lebih tinggi.

MITI menerusi MATRADE akan terus giat mempromosikan eksport di peringkat global, di samping meneroka lebih banyak perjanjian perdagangan dua hala bagi tujuan tersebut, kata Sim.

Malaysia, katanya dijangka menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Korea Selatan menjelang pertengahan 2026, manakala rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah masih berjalan.

“Sama ada ia akan dimeterai atau tidak tertakluk kepada rundingan. Kita mahu melindungi FTA ini. Kita perlu melindungi kepentingan Malaysia di samping mencari situasi yang sama-sama memperoleh manfaat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Abu Bakar Yusof berkata agensi itu merancang untuk menganjurkan lebih 200 aktiviti promosi dan pembangunan perdagangan tahun ini bagi mencapai sasaran pertumbuhan perdagangan serta mengekalkan momentum yang dicapai tahun lepas.

“Oleh kerana itu kami menumpukan kepada kepelbagaian pasaran, memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas serta bekerjasama rapat dengan rakan strategik termasuk persatuan perdagangan dan industri serta perwakilan asing,” katanya.

Abu Bakar berkata MATRADE turut mempergiatkan penglibatan industri menerusi program onboarding dan outreach bagi membantu syarikat tempatan berkembang di peringkat global.

“Pagi ini sahaja, kira-kira 600 pemain industri telah berinteraksi dengan pegawai MATRADE dan rakan strategik kami bagi memahami dengan lebih jelas cara mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa,” katanya.

MATRADE juga katanya akan mengambil pendekatan yang lebih agresif dengan sokongan padu daripada pemain industri serta kerajaan berikutan cabaran global yang dijangka semakin ketara tahun ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan