KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Pasaran hartanah Malaysia terus menerima permintaan daripada pelabur asing pada 2026 walaupun ringgit semakin kukuh, disokong oleh harga hartanah mampu milik di rantau Asia Tenggara.
Pengarah Urusan JLL Jamie Tan berkata walaupun pengukuhan ringgit sepanjang tahun lepas memberi sedikit kesan terhadap sentimen pelaburan asing, ia tidak menjejaskan minat terhadap pasaran hartanah negara secara ketara.
“Kami masih menerima banyak pelabur terutama dari Singapura dan China. Mereka sangat berminat dengan pasaran kita kerana apabila dibandingkan dengan negara lain di rantau Asia Tenggara, Malaysia masih merupakan antara pasaran kediaman paling mampu milik.
“Berbanding Bangkok dan Jakarta, Kuala Lumpur masih lebih mampu milik,” katanya pada sidang akhbar suku pertama 2026 syarikat itu di sini hari ini.
Menurutnya kawasan seperti Lembah Klang dan Johor Bahru masih terus menarik minat pelabur.
Tan berkata Johor Bahru telah merekodkan pertumbuhan kira-kira 25 peratus, yang mencerminkan momentum kukuh seiring dengan pembangunan Johor walaupun ia bermula daripada tahap rendah berbanding Lembah Klang yang telah berkembang lebih awal.
Beliau berkata Johor masih mempunyai banyak potensi untuk berkembang, dan harga hartanah yang menarik serta pulangan sewaan yang menguntungkan terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi menarik bagi pelabur asing.
Sementara itu, Tan berkata prestasi hartanah Malaysia untuk 2026 dijangka mengikuti trend pada 2025, dengan logistik perindustrian, pusat data dan hartanah kediaman dalam pembangunan berorientasikan transit (TOD) diunjurkan kekal sebagai segmen berprestasi tinggi.
Beliau berkata prestasi sektor hartanah terus bergantung kepada lokasi, dipengaruhi oleh faktor seperti dinamik pasaran tempatan, demografi, kebolehcapaian dan kesalinghubungan.
Ketua Perundingan Pajakan Pejabat JLL Malaysia Quiny Lee berkata penyewa dijangka terus mengutamakan konsep beralih kepada pilihan yang lebih berkualiti, dengan memfokuskan kepada pejabat moden Gred A yang mempunyai kelayakan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang kukuh, pensijilan hijau serta kemudahan yang lengkap pada 2026.
Beliau berkata berikutan ruang pejabat yang terhad di pusat bandar, penyewa mula mempertimbangkan lokasi di pinggir bandar atau kawasan kurang sesak yang menawarkan kemudahan moden, ruang kerja bersama dan aspek kelestarian yang kukuh.
"Dari segi bangunan pejabat baharu yang akan memasuki pasaran pada 2026, kami mempunyai KL Midtown yang terletak berhampiran kawasan KL Metropolis.
“Kami juga mempunyai UOA Dua Tower (Tower B) dan Menara Golden Eagle yang dijangka siap pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata selain projek yang dinyatakan, penawaran pejabat baharu masih terhad, dengan tiada projek baharu yang penting dijangka siap pada 2028.
Katanya projek baharu dijangka siap pada 2029.
Sementara itu, pemilik bangunan pejabat lama (Gred B dan C) menambah baik aset mereka dengan proaktif melalui pengubahsuaian, kemudahan tambahan dan penambahbaikan ESG untuk kekal berdaya saing berikutan penyewa semakin memberi penekanan terhadap aspek kesejahteraan, teknologi pintar dan bangunan yang mempunyai pensijilan mesra alam sekitar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial