EKONOMI > BERITA

PINJAMAN SKIM BNPL CECAH RM4.9 BILION SETAKAT 31 DIS 2025 -- MOF

27/01/2026 04:39 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Jumlah pinjaman skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) mencecah RM4.9 billion setakat 31 Dis 2025, dan dijangka kekal 0.3 peratus daripada jumlah keseluruhan keberhutangan isi rumah di Malaysia, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.

Beliau berkata pada 2025, bilangan transaksi BNPL mencecah 243 juta dengan nilai keseluruhan RM21.3 bilion, meningkat dengan ketara, masing-masing sebanyak 66 peratus dan 78 peratus berbanding tahun 2024 iaitu 146 juta transaksi bernilai RM12 bilion

“Setakat 31 Disember, jumlah BNPL yang tidak berbayar (overdue) adalah terkawal iaitu RM160.2 juta atau 3.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman BNPL.

“Angka ini mencerminkan bahawa beban hutang pengguna BNPL adalah terurus,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Liew berkata demikian ketika menjawab soalan V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) mengenai langkah yang diambil oleh Kementerian Kewangan bagi menilai keberkesanan rangka kawal selia sedia ada terhadap kemudahan kredit digital, termasuk skim BNPL dan kredit e-dompet dalam melindungi kepentingan belia.

Mengenai transaksi BNPL dalam kalangan golongan belia iaitu mereka yang berumur 30 tahun dan ke bawah, Liew berkata golongan tersebut merangkumi kira-kira 40 peratus daripada jumlah keseluruhan transaksi BNPL.

Katanya, secara amnya, skim BNPL digunakan untuk pembelian makanan, barangan runcit, pengangkutan dan perkhidmatan, dengan purata pembelian bagi setiap transaksi adalah RM91.

“Kajian oleh Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOBTF) menunjukkan lebih 70 peratus daripada keseluruhan pengguna aktif BNPL adalah terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah (B40),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan