PETALING JAYA, 28 Jan (Bernama) -- Nasib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara berhubung hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan diketahui selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membuat keputusan pada penghujung Februari ini.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman ketika ditanya mengenai perkembangan terkini proses rayuan badan induk itu ke CAS.
“Untuk CAS pada 25 dan 26 Feb, kita tunggu keputusannya,” kata Noor Azman pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini.
Pada Disember lepas, FAM mengesahkan telah mengemukakan Pernyataan Rayuan kepada CAS berhubung hukuman FIFA terhadap badan induk itu dan tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.
Sebelum itu pada September, FIFA mengesahkan FAM dan tujuh pemain iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung kesalahan pemalsuan dokumen.
Siasatan mendapati FAM telah menyerahkan dokumen dipercayai dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan pemain terbabit hingga membolehkan mereka beraksi ketika Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 di sini pada Jun lepas.
Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) serta digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.
Harapan untuk melihat hukuman itu diringankan tidak kesampaian selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 Nov menolak rayuan FAM dan kesemua pemain sekali gus mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib mengenai pelanggaran serius Artikel 22 FDC.
Bagaimanapun, semalam, FAM memaklumkan CAS membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan yang dikemukakan tujuh pemain terlibat, menyaksikan mereka dibenarkan meneruskan karier serta menyertai aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan dibuat.
Terdahulu, hari ini kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM bagi penggal 2025-2029 secara kolektif dan sukarela meletak jawatan serta-merta.
Tindakan itu dibuat secara sebulat suara dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi dan tanpa kepentingan atau jawatan peribadi, selain merupakan langkah berhemah dan berprinsip susulan situasi terkini yang menarik perhatian umum sekali gus antara lain bertujuan melindungi integriti FAM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial