EKONOMI > BERITA

KINERGY ADVANCEMENT DAN B.GRIMM POWER BEKERJASAMA BANGUN LOJI TENAGA GAS TURBIN

28/01/2026 03:16 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kinergy Advancement Bhd telah merasmikan perkongsian strategik dengan B.Grimm Power Public Co Ltd dari Thailand, yang akan melabur RM41.52 juta untuk memperoleh 49 peratus kepentingan dalam syarikat pelaburan khas Kinergy, Jati Cakerawala Sdn Bhd membabitkan cadangan pembinaan loji janakuasa turbin gas yang baharu.

Kinergy melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini memberitahu ia akan mengekalkan 51 peratus kepentingan kawalan dalam Jati.

Perkongsian itu menandakan evolusi kumpulan ke arah menjadi pengeluar tenaga bebas (IPP) daripada kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

"Konsortium yang diterajui Kinergy, yang mana B.Grimm Power mengukuhkan platform tersebut melalui kepakaran teknikal, kejuruteraan dan pengendalian berskala IPPnya, dipertanggungjawabkan bagi membangunkan loji tenaga turbin gas kitaran gabungan (CCGT) yang baharu," katanya.

Kinergy berkata kerja-kerja ke atas loji itu dijangka bermula menjelang suku pertama 2027, dengan operasi komersial Fasa 1 bermula pada akhir 2029.

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Kinergy Datuk Lai Keng Onn berkata pemilihan rakan kongsi adalah penting dalam pembangunan aset negara yang perlu ada kelangsungan operasi selama beberapa dekad.

"Keputusan B.Grimm untuk melabur pada peringkat awal ini mencerminkan perkongsian pandangan mengenai nilai jangka panjang tapak dan disiplin yang diperlukan bagi membangunkannya dengan betul.

"Kinergy berpendapat, ini menandakan satu langkah yang jelas iaitu daripada pelaksanaan projek untuk pihak lain ke arah pembinaan dan memiliki aset dengan nilai yang berkekalan," katanya.

Kinergy berkata sepanjang tempoh pembinaan, Kinergy turut dijangka akan mengambil bahagian dalam aktiviti EPCC.

"Dalam jangka panjang, selepas kilang itu ditauliahkan, projek tersebut akan menyumbang pendapatan yang stabil dan berulang di bawah model IPP berkenaan," katanya lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan