KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Malaysia kini dilihat kian penting dalam strategi India untuk menembusi pasaran Asia Tenggara, dengan negara ini berperanan sebagai pemangkin kepada peluasan hubungan perdagangan dan perniagaan serantau, kata seorang ahli akademik.
Penolong Profesor Ekonomi Perniagaan Universiti Nottingham Malaysia, Dr Chee Meng Tan berkata India kini giat mencari rakan strategik bagi meningkatkan pengaruh serta keterlihatannya di Asia Tenggara, sebuah rantau yang sejak kebelakangan ini semakin menjadi tumpuan kuasa besar dunia termasuk China dan Amerika Syarikat.
“Saya berpendapat India sedang mencari rakan strategik, dan pada masa sama berusaha meningkatkan pengaruh serta keterlihatannya di rantau ini.
“Jika diperhatikan sejak beberapa bulan lepas dan beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia dan Asia Tenggara secara keseluruhannya semakin mendapat perhatian daripada China, Amerika Syarikat dan pelbagai negara lain,” katanya dalam program Bernama World bertajuk Malaysia-India Relations: The Road Ahead, terbitan Bernama TV.
Menyentuh hubungan perdagangan, Tan bagaimanapun berkata China masih kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia, diikuti Singapura dan Amerika Syarikat, yang secara keseluruhan menyumbang bahagian besar kepada jumlah perdagangan negara.
India pula, kata beliau, meskipun masih dianggap rakan dagang sederhana, menunjukkan potensi pertumbuhan yang kukuh dengan nilai perdagangan dua hala dianggarkan sekitar US$20 bilion atau kira-kira RM80 bilion hingga RM90 bilion.
Menurut Tan, syarikat global khususnya dalam sektor teknologi, kini sedang menyusun semula rantaian bekalan bagi mengurangkan kebergantungan kepada China, dengan aktiviti pembuatan semakin beralih ke Asia Tenggara dan Asia Selatan.
“Sebagai contoh, Apple telah memperluaskan kapasiti pembuatan di India, namun masih memerlukan komponen utama seperti semikonduktor, sementara Malaysia pula merupakan pengeksport keenam terbesar dunia,” katanya.
Beliau berkata kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan India berpotensi membawa manfaat besar khususnya dalam bidang teknologi, semikonduktor dan pembuatan termaju.
Tan bagaimanapun mengingatkan Malaysia masih perlu mengimbangi hubungan luar serta ekonominya dengan berhati-hati bagi mengelakkan tanggapan bahawa negara ini berpihak kepada kuasa besar tertentu.
Ini kerana, katanya, kedudukan strategik Malaysia serta Selat Melaka sebagai laluan penting eksport, import dan pengangkutan petroleum yang pada asasnya dikawal oleh tiga negara iaitu Indonesia, Malaysia dan Singapura, menjadikannya koridor strategik yang menjadi tumpuan India, Amerika Syarikat dan China.
“Dari segi populasi dan saiz ekonomi kita mungkin tidak besar, tetapi dengan keupayaan teknologi, potensi pelaburan serta kedudukan strategik di Asia Tenggara, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menarik kepentingan global utama.
“Jika Malaysia memainkan peranannya dengan bijak, kita berupaya berada pada kedudukan untuk membuat tuntutan tertentu pada masa hadapan,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial