AM > BERITA

Konsert Langgar Garis Panduan Kelantan: Penganjur Didenda, Wang Cagaran Dirampas

04/02/2026 12:23 AM

KOTA BHARU, 3 Feb (Bernama) -- Penganjur sebuah festival yang berlangsung di tapak parkir sebuah pusat beli-belah di sini dari 29 hingga 31 Jan lepas bakal berdepan penalti termasuk denda maksimum RM30,000 selepas didapati gagal mematuhi Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata wang cagaran berjumlah RM8,000 juga telah ditarik balik dan penganjur Makar Fest XL turut berdepan risiko disenarai hitam sekiranya gagal melunaskan kompaun.

Beliau berkata pelanggaran kepada syarat dan garis panduan telah berlaku semasa persembahan oleh Kugiran Masdo yang berlangsung pada konsert penutup festival berkenaan, kira-kira 10.30 malam, Sabtu lepas.

“Walaupun penguat kuasa dan kru berjaya mengeluarkan beberapa penonton yang membuat provokasi serta kumpulan penonton yang didapati telah melanggar garis panduan hiburan, namun keadaan tidak berjaya dikawal oleh penganjur serta masih berulang.

“Penganjur didapati gagal menghentikan persembahan bagi mengawal keadaan. Turut dikesan berlakunya percampuran antara pengunjung lelaki dan wanita berikutan kedatangan penonton di luar dugaan tanpa ditempatkan petugas keselamatan secukupnya sebagaimana disyaratkan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata selepas meneliti laporan bertulis Pengarah Bahagian Perlesenan dan Kawalan Perniagaan serta rakaman video yang tular, Pegawai Pelesen mendapati penganjur telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025.

Hilmi berkata hasil pemantauan mendapati semua artis jemputan lain mematuhi enakmen dan garis panduan dengan festival makanan yang memperoleh kelulusan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam itu pada asalnya bertujuan sebagai platform perniagaan kepada usahawan kecil, peniaga tempatan dan penggiat seni, selain sebagai titik temu peminat seni.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan