KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Public Gold Marketing Sdn Bhd (Public Gold) memeterai kerjasama strategik dengan dua syarikat berpangkalan di Dubai, MAH Gold and Jewellery LLC dan ComTech Gold bagi memperluaskan operasi rangkaian Public Gold ATM ke peringkat global.
Public Gold ATM merupakan perkhidmatan yang mengkhusus dalam pembangunan, pembuatan dan penempatan mesin juruwang automatik (ATM) emas yang disokong teknologi kewangan (fintech).
Ketua Pegawai Pemasaran Public Gold Dubai Multi Commodities Centre Jerry Ng berkata kerjasama berkenaan mencerminkan perubahan struktur dalam industri emas global, apabila perdagangan fizikal tradisional kini dipertingkatkan dengan infrastruktur digital.
“Dalam keadaan pasaran global yang berdepan ketidaktentuan, tekanan inflasi dan cabaran geopolitik, emas terus memainkan peranan penting dalam portfolio institusi dan individu di seluruh dunia,” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian kerjasama itu di sini hari ini.
Ng berkata landskap pasaran global kini didorong oleh permintaan yang semakin tinggi terhadap ketelusan, kecekapan, kecairan dan kebolehcapaian, dengan sokongan tadbir urus serta teknologi yang kukuh, sekali gus mendorong kerjasama tersebut.
Pasaran emas global kini, kata beliau, sedang beralih daripada transaksi fizikal kepada model hibrid digital-fizikal, namun, penyelesaian itu bukan untuk menggantikan emas fizikal, sebaliknya menambah baik cara pengeluaran emas, disahkan dan dihantar melalui infrastruktur yang mantap.
“Kerjasama ini membolehkan kaedah pengeluaran emas digital yang selamat dan boleh dikesan, sekali gus memastikan penyelesaian pemilikan dan penghantaran fizikal dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tepat dan diyakini,” katanya.
Perkembangan ini juga memberi isyarat jelas kepada komuniti emas global bahawa Malaysia bersedia memainkan peranan yang lebih penting dalam landskap emas jongkong antarabangsa.
“Melangkah ke hadapan, saya yakin kerjasama ini akan mengukuhkan ekosistem emas tempatan dan serantau, menarik penyertaan lebih luas daripada pedagang dan pelabur emas jongkong antarabangsa, serta menetapkan penanda aras bagi kerjasama masa depan dalam industri logam berharga di rantau ini,” kata Ng.
Perjanjian yang dimeterai di Menara Public Gold itu disaksikan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Public Gold Datuk Seri Louis Ng, Ketua Pegawai Pemasaran MAH Gold and Jewellery LLC Hussein Osman serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ComTech Gold Jignesh Ved.
Ditubuhkan pada 2023, Public Gold ATM telah menempatkan 155 mesin ATM emas yang disokong fintech di seluruh Malaysia, Indonesia dan beberapa lokasi di Dubai, sekali gus meraih pengiktirafan Rekod Dunia Guinness bagi kategori Penempatan ATM Emas Terbanyak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial