EKONOMI > BERITA

MALAYSIA TERUS TEROKA PELUANG PERDAGANGAN BAHARU DENGAN NEGARA BERPOTENSI - PM ANWAR

04/02/2026 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Malaysia akan terus meneroka peluang pasaran dan perdagangan baharu secara agresif dengan kalangan negara berpotensi di samping mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) dan China, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata langkah itu bertujuan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia serta memangkinkan kepesatan ekonomi negara.

“Dalam beberapa tahun ini, kita (melaksanakan misi meneroka pasaran dan perdagangan secara) agresif ke Afrika Selatan dan Brazil, dan kita mendapat peluang-peluang baharu. Sebagai contoh, pelaburan minyak (mentah) yang besar di Brazil dan Peru.

“Pada masa sama, ruang juga terbuka luas untuk semua negara lain. Sebab itu bagi saya, asas-asas ekonomi itu sangat penting. Kita perlu menyelesaikan pelbagai isu namun, jangan sesekali mengenepikan kepentingan ekonomi dan asas ekonomi negara ini,” katanya di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menjawab pertanyaan penuntut mengenai pendirian Malaysia melibatkan hubungan dengan AS dan China pada program Temu Anwar di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di sini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan TARC Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, pengurusan tertinggi universiti serta lebih 1,600 penuntut dan kakitangan universiti.

Mengulas lanjut, Anwar berkata pada masa ini, Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan AS dan China.

“Jika Presiden (Amerika Syarikat) Donald Trump datang berbincang dan bertanya kepada saya mengenai hubungan dengan China, saya akan katakan bahawa hubungan sangat baik, negara jiran penting kepada kita. Jawapan itu mungkin tidak cukup “selera” bagi mereka, tetapi itulah kenyataannya.

“Begitu juga jika pihak China bertanya mengenai hubungan dengan Amerika, saya akan katakan bahawa sebagai negara dagang, kita terpaksa bergantung dan juga bersahabat dengan AS,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata setiap polisi yang dilaksanakan atau diperkenalkan Kerajaan MADANI akan sentiasa mengutamakan aspek pengukuhan perpaduan dalam kalangan rakyat serta kemajuan ekonomi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan