Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Pelabur Amerika digalakkan untuk meneroka dan mengembangkan pelaburan mereka di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak, dan tidak terhad kepada hab sedia ada seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan, Edgard D. Kagan berkata Malaysia menawarkan potensi pelaburan yang besar di seluruh negara, dengan pelaburan ketara dalam pusat data di Johor dan pembangunan industri di Kedah.
“Mereka tidak seharusnya menumpukan perhatian hanya di KL atau Pulau Pinang, sebaliknya perlu mencari peluang di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian selepas rakaman untuk rancangan “The Nation: Diplomatic Dispatch” di Bernama TV yang dihoskan oleh Jessy Chahal dan bakal disiarkan pada 12 Februari, 2026.
Kagan, yang berkhidmat sebagai Duta AS ke Malaysia sejak Disember, akan menyertai sebuah badan pemikir di Washington yang menumpukan kajian mengenai Asia. Beliau akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan AS-Malaysia sebagai rakyat biasa.
Kagan berkata kekuatan utama Malaysia dalam menarik pelaburan termasuklah tenaga kerja berbakat, infrastruktur dan integrasi ke dalam rantaian bekalan negara-negara barat, yang mana ia terus menarik pelaburan jangka panjang dari AS.
Sehubungan itu, beliau berkata faktor-faktor berkenaan yang menjadi sebab mengapa Malaysia merupakan salah satu sumber semikonduktor terbesar untuk AS, dengan produk Malaysia berupaya disepadukan secara mendalam terhadap rantaian bekalan Amerika.
“Bukti yang paling jelas mengenai hal ini ialah pada tahun lepas, walaupun berlaku ketidaktentuan global, eksport Malaysia ke AS meningkat sebanyak 14 peratus,” kata Kagan, Duta AS yang ke-22 ke Malaysia.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), perdagangan dengan AS mencatatkan pertumbuhan dua tahun berturut-turut pada 2025, berkembang sebanyak 13.0 peratus kepada RM367.47 bilion berbanding tahun sebelumnya dan menyumbang 12.0 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia.
Eksport mencapai paras tertinggi baharu, meningkat 17.2 peratus kepada RM233.08 bilion, disokong oleh permintaan yang kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti, makanan diproses dan produk logam.
Kagan berkata kesan terbesar yang berlaku sebenarnya melangkaui aspek pelaburan dan eksport. Syarikat-syarikat Amerika turut membantu membimbing dan membangunkan bakat Malaysia yang kemudiannya memimpin perniagaan multinasional di Malaysia dan di luar negara sebagai eksekutif di peringkat atasan.
“Ia bukan sesuatu yang remeh apabila ketua pegawai eksekutif Broadcom Inc dan Intel Corporation, dua daripada syarikat teknologi terbesar di dunia merupakan rakyat Malaysia yang memulakan kerjaya mereka dengan syarikat AS di Malaysia.
“Ini menunjukkan manfaat tidak ketara yang besar dan telah mengukuhkan impak ekonomi keseluruhan dalam hubungan AS-Malaysia,” katanya.
Dalam konteks itu, beliau menyuarakan keyakinan bahawa hubungan dua hala akan terus berkembang apabila Malaysia bergerak ke arah pelaksanaan penuh Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang ditandatangani pada 26 Oktober, 2025, semasa Sidang Kemuncak ASEAN.
Mengenai ART, “persoalan sebenar adalah sama ada Malaysia ingin mengakses manfaat itu dan seberapa cepat yang ia mahukan — terutamanya faedah untuk rakyat Malaysia di kawasan luar bandar, yang berpotensi memperoleh keuntungan yang besar,” katanya sambil merujuk kepada peningkatan kesan limpahan ekonomi daripada pertumbuhan pelaburan dua hala seperti peluang pekerjaan.
“Pada akhirnya, keputusan itu terpulang kepada rakyat Malaysia. Daripada perspektif kami, kami menantikan perjanjian ini berkuat kuasa secepat mungkin, kerana kami percaya ia membawa manfaat jelas kepada kedua-dua negara,” katanya.
Walaupun Malaysia dan AS telah menandatangani ART pada tahun lepas, perjanjian itu masih belum berkuat kuasa, menunggu penjelasan Malaysia mengenai terma-terma utama sebelum ratifikasi, berikutan kebimbangan mengenai kedaulatan dan kepentingan negara.
Menjelaskan lanjut, Kagan berkata Malaysia mempunyai caranya sendiri, yang dihormati oleh AS, sambil menambah dari sudut pandangan Washington, mereka ingin melihat perjanjian itu berkuat kuasa secepat mungkin.
“Kami percaya dengan bertukar-tukar dokumen, yang membolehkan proses itu bermula, perlu dijalankan secepat mungkin supaya kedua-dua negara dapat menikmati manfaatnya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial